Jenayah

Pasangan tunang dituduh merompak

SEREMBAN – Seorang lelaki dan seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, di sini, semalam kerana didakwa melakukan rompakan secara berkumpulan pada 6 September lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Baderen Zaman Abu, 40, dan Norerwani Yahaya, 30, yang merupakan pasangan tunang mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dan pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh.

Mengikut pertuduhan dikenakan terhadap mereka, kedua-duanya didakwa melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan sebilah parang ke atas harta kepunyaan Muhamad Rohim Zaid Zainudin, 20, dan Mohamad Khairul Amizan Mohd Kamalruddin, 20, di tepi pantai belakang Akar Resort, Telok Kemang, Port Dickson kira-kira jam 3.40 pagi.

Oleh itu, kedua-dua tertuduh boleh dihukum bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang dibaca dengan Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, pasangan berkenaan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Bagi pertuduhan pilihan pula, mereka didakwa dengan curangnya menyimpan harta curi yang diketahui diperoleh melalui rompakan berkumpulan terhadap Mohamad Khairul Amizan berupa sekeping kad ATM, sebuah telefon bimbit jenama Nokia X2 dan beg duit merah.

Turut ditemui dalam simpanan mereka adalah kunci motosikal, cukai jalan, resit rasmi JPJ dan sekeping geran kenderaan didaftarkan atas nama Muhamad Rohim Zaid, termasuk kad ATM lelaki terbabit.

Perbuatan tersebut dilakukan di hadapan kedai No.13, Jalan Pekan Pasir Panjang, Port Dickson lebih kurang jam 6.30 petang.

Justeru, Baderen Zaman dan Norerwani berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekiranya didapati bersalah mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Mahkamah kemudian membenarkan Baderen Zaman diikat jamin RM10,000 dan Norerwani RM6,000 di mana sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Oktober depan.

Sebagai syarat tambahan, kedua-duanya diperintahkan supaya melaporkan diri di Balai Polis berdekatan setiap hari Isnin kedua pada setiap bulan.

Selain itu, mereka juga tidak dibenarkan menghampiri atau mengganggu mangsa dalam kes ini yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syamimi Farhana A Aziz.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");