Jenayah

Pendaki cemas hilang jejak

pendaki

KAMPAR – Seramai tujuh pendaki termasuk empat warga emas cemas seketika apabila hilang jejak ketika menuruni Bukit Seri Emas di sini, selepas memulakan pendakian itu kira-kira jam 5.30 petang, kelmarin.

Bagaimanapun, kumpulan terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita yang merupakan ahli ‘Team 4 Hiker’s Lata Kinjang’ itu berjaya ditemui semula selepas tiga jam sesat di dalam hutan terbabit.

Mangsa yang terlibat ialah Chan Yeen kong, 44; Yap Chong Loo, 35; Ng Kee Wah, 67; Kong Sang Wah, 63; Ang Ai Lean, 60; Ng Sun Sun, 27 dan Chai Moy, 68.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kampar, Yamin Naib berkata, pihaknya menerima panggilan daripada rakan mangsa kira-kira jam 8.28 malam selepas mendapati kumpulan terbabit gagal menemui jalan pulang selepas mendaki bukit terbabit.

Menurutnya, lima anggota diketuai Mohd Jamadi Mohd Rohimi dikejarkan ke kawasan kejadian dan mendaki kira-kira sembilan kilometer bagi mengesan jejak kumpulan mangsa yang sesat itu.

“Berdasarkan keterangan rakan mangsa, kumpulan berkenaan sepatutnya kembali ke kaki bukit berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) De La Salle itu kira-kira jam 7 petang.

“Setelah lama menanti, empat rakan mereka bertindak memasuki hutan terbabit untuk mencari mangsa sementara menghubungi pihak Bomba untuk operasi mencari dan menyelamat,” katanya ketika ditemui di sini.

Yamin berkata, setelah saling berhubung menerusi panggilan telefon, mangsa berjaya ditemui semula kira-kira jam 9.40 malam dan dibawa ke ‘check point’ Bomba yang disediakan dalam hutan itu.

“Kita membuat pemeriksaan kesihatan sebagai langkah awal untuk beri bantuan sekiranya berlaku keadaan yang tidak diingini ketika mereka sesat itu.

“Kita berjaya membawa turun mangsa dalam keadaan selamat dan pegawai perubatan dari Hospital Kampar mengesahkan kesemua mangsa dalam keadaan baik,” katanya.

Beliau berkata, pendaki tempatan dinasihatkan untuk melaporkan kepada pihak berkuasa sebelum mengadakan aktiviti pendakian di kawasan hutan mahupun gunung.

“Ia bagi memudahkan pihak berkuasa dan penyelamat sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini selain membawa kelengkapan terutama lampu suluh sekiranya mendaki pada lewat petang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Ng Kong Soon mengesahkan menerima laporan itu dan kesemua mangsa sah selamat.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");