Sukan Hari Ini

Perak jadi penawar

Incheon: Sakit tidak menghalang dua penerjun negara Cheong Jun Hoong dan Wendy Ng daripada menyumbang pingat perak dalam acara 3 meter papan anjal seirama wanita pada temasya Sukan Asia Incheon, semalam.

Jun Hoong masih berasa sakit di lutut dan buku lali manakala Wendy bahu dan belakang badan namun kedua-duanya mengumpul 287.70 mata untuk meraih perak dalam acara yang dimenangi penerjun ternama China, Wu Minxia-Shi Tingmao dengan 318.60.

Gandingan Korea Utara, Choe Ung Yong-Kim Ji Nok merangkul pingat gangsa dengan 274.32 mata di Pusat Akuatik Munhak Park Tae Hwan.

“Kami masih berasa sakit ketika melakukan terjunan tapi memaksa diri untuk melupakan semua itu. Sebelum melakukan terjunan, kami mendapatkan dulu rawatan pakar fisio bagi mengurangkan rasa sakit.

“Mujurlah semuanya menjadi seperti yang diharapkan dan perak ini amat bermakna kerana saya dan Jun Hoong berganding semula selepas dipisahkan ketika Sukan Komanwel Glasgow,” kata Wendy yang meraih perak keduanya selepas berpasangan dengan Leong Mun Yee di Guangzhou 2010.

Kedua-duanya tidak digandingkan bersama oleh jurulatih Yang Zhuliang di Glasgow dua bulan lalu namun mereka kembali disatukan di Incheon.

“Sudah tentu saya gembira kerana turut membantu Wendy mempertahankan perak yang dimenanginya di Guangzhou. Kami memang berhak meraikan pencapaian ini selepas bekerja keras dalam latihan,” kata Jun Hoong, pemenang gangsa 3m papan anjal individu empat tahun lalu.

Sementara itu, Chew Yi Wei-Ooi Tze Liang meraih pingat gangsa dalam acara 10 meter platform seirama lelaki apabila mengumpul 384.90 mata, ketinggalan 78.00 mata kepada pasangan China, Zhang Yanquan-Chen Aisen dari China yang meraih emas manakala perak dimenangi Kim Yeong Nam-Woo Ha Ram dari Korea Selatan (403.50).

“Saya berasakan cabaran pada Sukan Asia amat sukar. Jepun dan Korea Utara pun kuat jadi saya bangga kerana berjaya naik ke podium,” kata Yi Wei, yang meraih pingat gangsa acara sama pada Sukan Komanwel Glasgow.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");