Perak Hari Ini

PPKK Pendekatan Terbaik Beri Pendedahan Kesihatan Kepada Rakyat

Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) kini menjadi medium terbaik bagi menyampaikan maklumat berkaitan kesihatan kepada masyarakat di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Intergrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Mah Hang Soon berkata, ia juga boleh menjadi platform kepada agensi kesihatan untuk lebih berinteraksi dengan rakyat.

“Justeru, konvensyen PPKK dianjurkan sebagai platform untuk berkongsi idea dan pengalaman tentang projek-projek yang dijalankan di daerah masing-masing melalui pembentangan lisan dan poster.

“Pelaksanaan proram ini menunjukkan usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang begitu komited dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik dengan melibatkan masyarakat bagi melaksanakan cita-cita dan transformasi rakyat ke arah masyarakat yang sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian penutup Konvensyen Panel Penasihat Klinik Kesihatan di Dewan Perdana Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sultan Azlan Shah dekat Ipoh, hari ini.

Ujarnya, konvensyen yang bertemakan ‘Transformasi Rakyat, Panel Aktif, Masyarakat Sejahtera’ itu, menjadi penghubung kepada masyarakat untuk berinteraksi dengan Jabatan Kesihatan.

“Panel Penasihat merupakan penghubung antara masyarakat dan Jabatan Kesihatan negeri bagi menyampaikan maklumat tambahan dan berfungsi sebagai nadi penggerak kepada penglibatan masyarakat dalam aktiviti kesihatan.

“Ia juga merupakan komunikasi dua hala dengan adanya forum interaksi antara masyarakat setempat dengan anggota kesihatan,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, inovasi yang ditunjukkan oleh anggota PPKK tersebut dalam memberi maklumat amat membanggakan.

“Hasil lawatan ke ruang pameran, saya dapati peserta mempunyai idea-idea baru dalam menghasilkan produk untuk menangkap nyamuk menggunakan bahan masakan seperti gula merah dan yis.

“Ini boleh menggalakkan pemikiran iaitu selain menjadi penghubung dan pengantara kepada masyarakat dengan Jabatan Kesihatan, dalam masa yang sama juga mereka menggunakan idea tersebut agar lebih berinovasi,” ujarnya lagi.

Sementara itu, menurut Pengerusi PPKK Negeri Perak, Abdul Kadar Sikinthar Bacha, program yang dilakukan oleh panel tersebut bertujuan mendedahkan orang ramai tentang klinik kesihatan.

“Kita gunakan program-program yang kita laksanakan untuk menarik orang ramai ke klinik untuk segera mendapatkan rawatan apabila mereka sakit,” ujarnya.

Katanya, sambutan daripada masyarakat semakin menggalakkan kerana program tersebut semakin mendapat tempat di hati mereka.

“Pada awal dahulu, panel ini kurang mendapat sokongan kerana kurang pendedahan tetapi kini sambutan daripada masyarakat amat menggalakkan.

“Bukan sahaja pesakit datang ke klinik untuk mendapat rawatan tetapi orang ramai juga hadir untuk mendapatkan maklumat dan pendedahan mengenai penyakit yang mereka alami atau sebaliknya.

“Ini menunjukkan program yang kita jalankan ini amat berkesan dan memberi kesan positif kepada masyarakat,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");