Isu Panas

PR hilang Selangor jika Azmin gagal

SHAH ALAM – [DIKEMASKINI] PR akan kehilangan Selangor jika Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali gagal mentadbir negeri ini seperti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, menurut penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain.

Jelasnya, jika Azmin gagal meneruskan gaya pentadbiran cemerlang Abdul Khalid, peluang BN untuk merampas semula negeri ini amat cerah.

“Rakyat kini bergantung harap kepada pentadbiran Azmin. Kita tidak boleh lagi menilai sama ada dia sama cemerlang seperti Abdul Khalid atau tidak, barisan Exco baru pun kita tidak boleh nilai lagi. Tetapi teorinya mudah saja, jika gagal mentadbir, PR akan hilang Selangor.

“Jika rakyat sudah hilang percaya kepada PR dan Azmin gagal tadbir dengan baik, peluang cerah untuk BN rampas Selangor,” katanya.

Khamis lalu, Azmin mengumumkan menambah seorang anggota daripada PKR dan mengurangkan seorang wakil Pas dalam barisan 10 anggota Exco Selangor baharu.

“Kita lihat saja dulu bagaimana Azmin dan barisan Kabinetnya yang baru mentadbir Selangor, jika bagus, rakyat akan terus percaya PR. Kalau ada yang seleweng, BN mempunyai peluang untuk ambil alih Selangor,” kata Atory.

Tambah beliau, Abdul Khalid lebih dikenali sebagai tokoh korporat dan kewibawaan juga kepintaran beliau dalam mengurus perniagaan dan wang diserap masuk dalam pentadbirannya semasa mentadbir kerajaan negeri.

“Berbanding Azmin, beliau hanya dikenali sebagai tokoh politik. Mampukah Azmin mentadbir seperti Khalid, itu kita tidak tahu, tetapi harapnya janganlah lebih utamakan politik dalam urusan kerajaan negeri. Kasihan rakyat nanti, takut rakyat pun hilang percaya,” katanya.

Menurutnya, barisan Exco baharu juga dilihat boleh membawa Selangor ke arah lebih baik tetapi bergantung pada isu.

“Kalau isunya untuk rakyat, mereka semua pasti boleh bekerjasama tetapi jika isu itu tidak boleh membawa kepada sepakat, maka barisan Exco Selangor yang baru ini juga boleh goyang,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak turut senada dengan Atory dan menjangka PR akan terima balasan setimpal jika Azmin gagal mentadbir negeri ini dengan
baik.

“Azmin mesti bijak membuat keputusan dan mesti membuktikan dirinya bukan menteri besar ‘remote control’ dan jangan ada suara luar yang pandai-pandai beri nasihat demi kepentingan peribadi.

“Azmin mesti mendahulukan kepentingan rakyat berbanding kepentingan politiknya. Sekarang ini, dia ada kuasa tentukan corak pentadbiran sendiri, kalau ada ‘remote control’, rakyat sendiri akan berpaling tadah dan hilang percaya kepada PR dan balasan itu akan mereka beri dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Tambah Mustafa lagi, cabaran inilah yang harus ditempuh Azmin sebagai pengganti Abdul Khalid.

“Azmin tidak boleh lari dari perbandingan dengan Khalid, jika Khalid meninggalkan legasi tersendiri sebagai menteri besar, Azmin mesti sahut cabaran ini dan buktikan beliau setaraf atau mampu tadbir jauh lebih baik dari Khalid,” katanya.

Menurutnya lagi, jika Azmin berjaya ketepikan agenda politik dan lebih mementingkan rakyat, pentadbirannya akan dilihat baik dan rakyat boleh menerima kehadiran Azmin dengan hati terbuka.

“Sekarang ini pun bukan masanya lagi Azmin mahu main politik. Sebagai menteri besar, beliaulah yang bertanggungjawab untuk memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar, telus dan penuh tanggungjawab kepada rakyat. Inilah harapan rakyat ketika ini,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");