Membawang Hari Ini

‘Senario’ Belum Berkubur – Lan Pet Pet

PETALING JAYA: Pelawak dan pelakon Lan Pet Pet menjelaskan, kumpulan Senario tidak pernah berpecah atau terkubur apabila mereka kelihatan sepi daripada sebarang projek terbaharu sejak beberapa tahun ini.

Lan Pet Pet atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad, 45, berkata, mereka masih bersama sebagai sebuah kumpulan dan sedang merancang untuk kembali menerusi filem khas buat peminat mereka.

“Kami masih lagi bersama sebagai sebuah kumpulan dan tidak pernah berpecah seperti sangkaan sesetengah pihak malah kami merancang untuk kembali dengan filem terbaharu.

“Bagaimanapun ia masih di peringkat perancangan dan harap-harap ia menjadi demi peminat,” katanya kepada mStar Online.

Lan Pet Pet ditemui ketika hadir ke majlis tayangan perdana filem terbaharunya berjudul Dollah Superstar yang diadakan di Cathay E@Curve di sini pada minggu lalu.

Filem arahan Kabir Bhatia itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Awie, Sharnaaz Ahmad, Neelofa dan Aziz M. Osman.

Ia bakal ditayangkan di pawagam pada 2 Oktober ini.

Selain Lan Pet Pet, Senario turut dianggotai oleh Wahid, Azlee Jaafar dan Saiful Apek.

Dalam pada itu, berkongsi tentang perkembangan terbaharunya, Lan Pet Pet berkata, dia masih menerima tawaran berlakon dan mengadakan persembahan pentas secara solo biarpun tanpa rakan-rakannya dari Senario.

Tambah Lan Pet Pet lagi, sekiranya bercuti ke luar negara bersama isterinya, Rubytah Abu Bakar @ Che Wan dia turut mengambil kesempatan membuat persembahan jalanan (basking) dan mengakui ia suatu pengamalan baharu.

“Pengalaman buat persembahan jalanan di negara orang suatu perkara baharu dalam hidup saya dan paling seronok sebab masyarakat di sana kelihatan cukup seronok dan begitu menyokong dengan kebolehan saya membuat bunyi-bunyian.

“Malah ada produksi luar negara yang ingin menerbitkan sebuah program tentang saya dan persembahan jalanan namun ia hanya masih pada peringkat cadangan,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai Dollah Superstar, Lan Pet Pet berkata, biarpun dia bukan memegang peranan utama namun dia begitu seronok dapat berlakon dalam sebuah karya yang disifatkan cukup berbeza dan mengangkat komedi spontan.

“Ia sebenarnya bukan sebuah filem komedi tetapi garapan yang ditonjolkan oleh Kabir terhadap jalan cerita dan watak kami sebagai pelakon membuatkan ia mempunyai elemen komedi spontan.

“Pada saya pula ia tidak terlalu membebankan malah watak saya cukup menyeronokkan dan Kabir sendiri banyak memberi kelonggaran kepada saya,” katanya.

-mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");