Sukan Hari Ini

Sukan Asia: Hoki guna pendekatan individu hadapi Pakistan

INCHEON: Sekalipun berdepan misi sukar untuk merebut slot ke final Sukan Asia, skuad hoki negara tidak gentar menghadapi Pakistan yang hadir selaku penyandang juara edisi sebelum ini di Guangzhou, China pada pertemuan separuh akhir yang akan berlangsung di Stadium Hoki Seonhak, Selasa ini.

Skuad hoki kebangsaan terpaksa melupakan seketika detik hitam yang dilalui empat tahun lepas apabila Pakistan merampas peluang negara untuk menamatkan kemarau penantian pingat emas selama 56 tahun apabila menyingkirkan Malaysia dengan kemenangan 2-0 pada aksi final.

Perak di Guangzhou itu begitupun menjadi kejayaan terbaik skuad hoki lelaki negara di temasya empat tahun sekali itu.

Malaysia selaku naib juara kumpulan A mengesahkan tiket ke separuh akhir selepas membelasah Jepun 4-1 pada aksi pelengkap kumpulan di venue sama semalam.

Jurulatih skuad hoki kebangsaan, Arul Selvaraj berkata pasukannya akan membuat persiapan seperti biasa yang dilakukan pada perlawanan lepas dan mengkaji corak permainan dan kelebihan pasukan lawan.

“Masa akan menentukan sama ada menang atau kalah… ia bermakna kejayaan bergantung kepada perasaan, tahap keyakinan dan semangat berpasukan yang lahir dalam diri setiap pemain sebaik saja mereka melangkah masuk ke padang,” katanya kepada pemberita hari ini.

Arul berkata Pakistan mempunyai ramai pemain individu yang hebat dan beliau akan menggunakan pendekatan ‘seorang untuk seorang’ untuk mengatasi kelebihan pemain Pakistan yang dikenali mampu melancarkan serangan tajam menerusi gerakan individu.

Menjawab pertanyaan pemberita sama ada kejayaan di Sukan Asia, Incheon penting dalam menentukan hala tuju skuad hoki negara untuk layak ke Olimpik, Rio De Janeiro di Brazil pada 2016 nanti, Arul berkata beliau tidak memikirkan perkara itu kerana apa yang lebih penting adalah mencapai misi di Incheon terlebih dulu.

“Saya hanya beri tumpuan kepada kejohanan di Incheon terlebih dulu dan memikirkan bagaimana untuk kita mencapai misi dari satu langkah ke langkah berikutnya dan saya juga tidak ingin menjejaskan tumpuan pemain.

“Bila sampai di sini (Incheon) saya beri tumpuan bagaimana untuk mencapai misi pertama terlebih dulu sebelum beralih kepada langkah yang berikutnya kerana kejayaan tidak akan dicapai jika kita gagal sejak daripada langkah pertama lagi dan itu adalah prinsip hidup saya,” katanya.

Sementara itu, kapten pasukan, Azlan Misron berkata beliau dan rakan-rakan sudah mula mengkaji corak permainan Pakistan sejak dari awal perlawanan.

“Tidak banyak kita tahu tentang mereka (Pakistan) kerana sudah lama kita tidak berhadapan dengan pasukan Pakistan dan kali terakhir jumpa pada perlawanan Liga Hoki Dunia di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru 2013,” katanya.

Azlan berkata beliau dan rakan-rakan ada menonton beberapa perlawanan membabitkan pasukan Pakistan bagi melihat corak permainan mereka.

“Kita lihat perlawanan membabitkan pasukan Pakistan sekejap saja dan itu pun curi-curi tengok, daripada pemerhatian saya fikir kita perlu bersedia untuk menerima serangan balas pasukan Pakistan,” katanya

Beliau berkata dalam kesibukan mengatur serangan, Malaysia tidak boleh mengabaikan kepentingan jentera pertahanan kerana bila-bila masa saja mereka (Pakistan) mampu melakukan serangan individu.

Pada perlawanan separuh akhir yang dijadualkan berlangsung Selasa ini, pasukan Korea Selatan selaku juara kumpulan A turut beraksi merebut slot ke final apabila berhadapan dengan naib juara kumpulan B, India.

Untuk rekod, Pakistan adalah juara lapan kali Sukan Asia sejak edisi Tokyo, Jepun pada tahun 1958 sebelum Korea Selatan merampas gelaran juara pada Sukan Asia di Seoul pada tahun 1986, edisi Hiroshima, Jepun 1994, Busan, Korea Selatan pada tahun 2002 dan kali terakhir di Sukan Asia di Doha, Qatar pada 2006.

India pula adalah juara dua kali Sukan Asia pada edisi Bangkok, Thailand pada 1966 dan 1988. – Bernama/foto bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");