Jenayah

Surendran pohon kesnya dirujuk ke Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Padang Serai, N.Surendran yang menghadapi pertuduhan menghasut di Mahkamah Sesyen, memohon supaya mahkamah itu merujuk isu perlembagaan berhubung Akta Hasutan 1948 ke Mahkamah Tinggi.

Surendran, 48, memfailkan permohonan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Sesyen menerusi Tetuan Daim & Gamany.

Hakim Zainol Rashid Hussain menetapkan 14 Okt untuk mendengar permohonan Surendran itu.

Dalam permohonannya, beliau memohon supaya Mahkamah Sesyen merujuk isu perlembagaan ke Mahkamah Tinggi berdasarkan Perkara 10, 8 dan 5 Perlembagaan Persekutuan berhubung kebebasan bersuara.

Surendran, yang juga seorang peguam, memohon prosiding bagi kes hasutannya di Mahkamah Sesyen itu ditangguhkan sehingga pendengaran permohonannya selesai.

Pada 19 Ogos lepas, Surendran mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerbitkan artikel menghasut berhubung penghakiman Mahkamah Rayuan dalam kes liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dia didakwa menerbitkan artikel bertajuk “Press Release: Court of Appeal’s Fitnah 2, Written Judgement is Flawed, Defensive and Insupportable” di pejabat Malaysiakini.com di No. 48, Jalan Kemuja, Bangsar Utama, di sini pada jam 3.40 petang, 18 April lalu.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan dan bagi kesalahan kemudian boleh dipenjara sehingga lima tahun. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");