Jenayah

Tak dapat duit, mengamuk rosak harta dalam rumah

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki layak digelar anak derhaka apabila tergamak menjadikan ibunya yang juga seorang warga emas sebagai ‘bank’ utama mendapatkan wang bagi perbelanjaan seharian.

Lebih tidak berperikemanusiaan, setiap kali ibu malang itu gagal memenuhi permintaan si anak, dia akan menggunakan cara kekerasan bagi menakutkan wanita berkenaan.

Dalam kejadian terbaharu di kediaman mereka di Kampung Gong Tok Nasek, di sini, kelmarin, suspek berusia 36 tahun dikatakan telah merosakkan perabot menggunakan kapak, selepas berang permintaannya untuk mendapatkan wang tidak dipenuhi mangsa yang berusia 71 tahun.

Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 pagi ketika mangsa berada di rumah sebelum dihampiri anak lelakinya meminta sejumlah wang.

“Ibu malang itu memaklumkan tidak dapat menunaikan permintaan anaknya kerana tidak mempunyai wang sebelum suspek berlalu keluar.

“Pada mulanya, mangsa menyangka suspek dapat menerima jawapan itu tanpa menduga jawapannya itu telah mengundang kemarahan suspek yang masuk semula ke dalam rumah sambil membawa sebilah kapak.

“Belum sempat mangsa bertanya apa-apa, suspek terus merosakkan serta memecahkan televisyen, perabot dan kabinet dalam rumah mereka tanpa mengendahkan rayuan mangsa yang memintanya bersabar,” katanya.

Sumber berkata, mangsa mendakwa kejadian seumpama itu kerap berlaku terutamanya setiap kali apabila mangsa gagal memenuhi kehendaknya untuk mendapatkan wang.

Warga emas itu membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu. Difahamkan, suspek ditahan beberapa jam selepas laporan dibuat ibunya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");