Jenayah

Tayar pecah ragut isteri

Rantau Panjang: Seorang suami sempat mengajar isterinya mengucap dua kalimah syahadah sebelum wanita itu menghembuskan nafas terakhir apabila kereta dinaiki mereka terbabas dan terbalik dalam kejadian di Kampung Lubok Gong, Jalan Rantau Panjang Lama, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.15 pagi, Miss Rodiyah Baka, 24, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala bayi perempuannya yang berusia setahun sesak nafas dan dihantar ke Pusat Kesihatan Rantau Panjang sebelum dirujuk ke Hospital Pasir Mas (HPM).

Bagaimanapun, suami Miss Rodiyah, Mohd Aliff Farhan Mohd Marzuki, 27, yang memandu kereta Honda Jazz hanya cedera ringan.

Difahamkan, tiga beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Banggol Seraya, Sungai Golok selepas menghabiskan masa bersama keluarga di Kedai Lalat, Kota Bharu.

Ketika ditemui, Mohd Aliff Farhan kelihatan sugul dan enggan ditemu bual berikutan terlalu sedih.

Saksi kejadian, Adam Zainuddin, 31, berkata, dia mendengar bunyi dentuman diiringi rempuhan kuat tidak jauh dari kediamannya dan bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku.

“Apabila keluar, saya dapati ada bayi perempuan sudah berada di tengah jalan dipercayai tercampak dari kereta yang ketika itu sudah terbalik sebaik merempuh sebuah stor penyimpanan barang di lokasi kejadian.

“Saya menyelamatkan bayi terbabit yang kelihatan sesak nafas.

Dalam masa sama, saya melihat seorang lelaki (Mohd Aliff Farhan) sedang mengajar isterinya mengucap dua kalimah syahadah di sisi kereta mereka yang terbalik sebelum wanita berkenaan menghembus nafas terakhir,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.

Adam berkata, difahamkan salah satu tayar kereta Mohd Aliff Farhan pecah menyebabkan dia gagal mengawal kenderaan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Haliludin Rahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

-metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");