Sukan Hari Ini

Tewas akibat cetek pengalaman

PENGALAMAN menjadi faktor kegagalan pemain sepak takraw kebangsaan meraih emas selepas tewas 0-2 kepada Thailand pada aksi separuh akhir, baru-baru ini.

Ini diakui oleh bekas apit kanan negara yang juga jurulatih Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Bandar Penawar, Ismail Atan ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurut Ismail, dia tidak terkejut dengan kekalahan tersebut memandangkan keputusan itu sudah dijangka daripada awal.

Namun, dia tidak menyalahkan regu muda negara itu yang disifatkannya kurang keserasian, sebaliknya melahirkan rasa kecewa dengan tindakan jurulatih yang membariskan pemain baharu serta tiada pengalaman beraksi dalam kejohanan utama itu.

“Kita tidak boleh katakan mereka tidak bagus kerana tewas hari ini.

“Melihatkan permainan mereka, saya sedar mereka kurang pengalaman dan memerlukan lebih banyak masa menjadi pemain yang baik.

“Dalam hal ini, jurulatih yang perlu lebih arif… kenapa ambil risiko meletakkan pemain muda dan tiada pengalaman sedangkan masih ada pemain lain yang mampu menggalas tugas itu.

“Jurulatih harus ingat, kejohanan ini pentas Asia, bukannya perlawanan ala-ala kampung,” katanya.

Ismail yang pernah melatih Brunei dari 1995 hingga 2005 dengan pencapaian terbaik gangsa Sukan Asia Bangkok 1998 dan Sukan Sea Brunei 1999 menambah, jurulatih sebenarnya harus peka mengenai pemilihan pemain dan jangan biarkan keputusan itu memakan diri sendiri.

“Saya kecewa apabila pemain berpengalaman digugurkan. Kita ada killer yang bagus tapi percaturan jurulatih yang salah sebenarnya.

“Saya tak nak tuding jari untuk mana-mana pihak sebab benda dah terjadi, cuma jadikan pengajaran untuk kejohanan masa datang,” katanya.

Skuad sepak takraw negara sekadar meraih pingat gangsa pada temasya kali ini dalam acara berpasukan, namun mereka masih bersaing dalam acara antara regu yang bermula semalam.

“Saya harap mereka boleh bangkit dan mara ke final dengan menebus kekecewaan itu,” katanya.

Untuk rekod, sejak sepak takraw dipertandingkan pada temasya Sukan Asia Beijing 1990, Malaysia tidak pernah gagal mara ke perlawanan akhir regu dengan memenangi emas di Beijing dan Hiroshima 1994.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");