Membawang Hari Ini

Amaris terkena sekali lagi!

Tahun lalu pelakon dan penyanyi Amran Ismail atau Amaris diberikan kejutan ‘prank’ sempena hari jadinya dengan berita kononnya dia diundang me­ngadakan persembahan di Istana Negara.

Dalam perjalanan, pemandu yang ditugaskan membawanya ditahan along dan diugut membuat­kan Amran terbabit sama. Wajahnya kelihatan panik dan cemas biarpun sudah tahu perkara sebenar selepas itu.

Perkara yang sama berulang lagi tahun ini. Sekali lagi, pengurusnya Mabel Hiew serta anggota kelab peminatnya dari Fantastic Amaris mengatur strategi bagi mengenakan Amaris pada majlis yang dirancang, baru-baru ini.

Menerusi idea pengacara Maria Tunku Sabri, Amaris yang menyambut ulang tahun ke-29 pada 8 September lalu diminta hadir untuk satu mesyuarat dengan sebuah produksi luar negara yang berminat mengambilnya berlakon.

Namun sebaik tiba di tempat perjumpaan, dua lelaki mendekati keretanya dan bertindak kasar seolah-olah mahu menarik kereta miliknya.

Mereka memaksanya pergi ke satu lokasi dan apabila tiba, Amaris terkejut apabila semua pihak termasuk keluarganya sudah menanti di situ.

“Saya dikenakan lagi tahun ini. Saya betul-betul percaya dan tak terfikir ia adalah ‘prank’ kerana Kak Maria memang ada menghubungi saya beritahu ada produksi luar nak ambil saya berlakon.

“Dah tentulah saya seronok kerana walaupun watak yang ditawarkan mungkin kecil, saya tetap gembira kerana nak cuba bakat. Jadi, apabila dihubungi, saya terus setuju kerana nak buktikan komitmen saya.

“Kebetulan pula, saya bercuti sehari daripada peng­gambaran drama bersiri Cinta Si Egois. Rupa-rupanya sebelum perkara sebenar berlaku, sempat lagi Mabel dan Kak Maria kenakan saya,” katanya.

Biarpun terkena, Amaris tidak melenting kerana tahu tujuan mereka sekadar bergurau. Bahkan dia gembira kerana majlis ini mengumpulkan semua pihak yang berjasa membantu perkembangan kariernya selama ini.

“Semua pihak hadir daripada anggota keluarga, peminat dan wakil media. Saya dapat banyak hadiah dan sangat menghargai apa yang diberikan,” katanya.


Kejutan Nikita Willy

Apa yang membuatkan Amaris teruja dalam majlis itu ialah apabila dia turut dikejutkan dengan kehadiran selebriti pujaannya iaitu Nikita Willy, penyanyi dan pelakon Indonesia.

“Memang terasa nak pengsan apabila bertentang mata dengannya. Saya peminat lagu-lagu nyanyiannya dan hafal setiap lagunya. Nikita yang hadir bersama keluarganya serta pengurus sangat ‘sporting’.

“Saya pernah meraikan ulang tahun kelahirannya di Indonesia tahun ini dan tak sang­ka dia membalasnya kerana saya tahu jadualnya sangat padat.

“Bukan itu saja, kehadirannya turut disertai oleh enam wakil stesen TV yang turut membuat liputan pada majlis ini,” ujarnya.

Amaris turut gembira kerana artis pujaannya ini sudi mendendangkan lagu popularnya Ku Tetap Menanti pada malam yang bersejarah buatnya itu.

Pelbagai permainan menarik turut diadakan bagi memeriahkan majlis itu, antaranya persembahan daripada peminat yang menyanyikan single Amaris berjudul Janjiku.

“Seronok kerana segala-galanya berjalan lancar. Saya difahamkan mereka buat persiapan selama sebulan untuk majlis ini. Paling terharu, mereka menyediakan kek berbentuk kereta Ferrari yang menjadi idaman saya pada malam itu,” katanya.


Belum fikir jodoh

Amaris mengakui usianya kini semakin meningkat. Bagaimanapun dia enggan memikirkan soal kahwin dan lebih suka mengikut arus.

“Memang ada yang kata usia begini sudah sesuai untuk kahwin. Bagaimanapun saya belum bertemu jodoh dan lebih senang serahkan pada ketentuan takdir.

“Buat masa ini biarlah saya fokus pada karier terlebih dulu. Lagipun selepas ini single kedua saya akan dilancarkan di Malaysia dan Indonesia. Saya juga dapat tawaran berlakon sinetron dan Indonesia.

“Insya-Allah selepas tamat penggambaran Cinta Si Egois, barulah saya akan ke Indonesia,” katanya yang melakonkan watak utama bergandingan dengan Sariyanti, Julia Ziegler, Safura, Catriona Ross dan ramai lagi dalam siri ini.

-metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");