Berita Hari Ini

Bajet 2015 dijangka selari dengan NAP

KUALA LUMPUR – Bajet 2015 dijangka sejajar dengan aspirasi Dasar Automotif Nasional (NAP).

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI) Mohamad Madani Sahari berpendapat NAP itu sendiri yang dilancarkan Januari tahun ini padat dengan insentif relevan dan kemudahan pembiayaan yang ditawarkan oleh kerajaan.

“Segmen automotif dalam Bajet 2015 akan datang harus selaras dengan NAP.

“Fundamental pelaksanaan harus disentuh dalam bajet dan meliputi faktor-faktor seperti prasarana, pekerja mahir, rantaian bekalan dan pembangunan teknologi,” katanya kepada Bernama.

Bajet 2015 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen pada 10 Oktober.

NAP yang menumpukan kepada inisiatif hijau, pembangunan teknologi dan modal insan, pengembangan pasaran dan pengukuhan ekosistem industri automotif, menyaksikan kedua-dua syarikat kereta nasional, Proton dan Perodua, menerajui tindak balas industri.

Proton Holdings Bhd, dengan model “Iriz” yang baru dilancarkan, percaya kereta standard global akan membantu syarikat itu menguasai bahagian pasaran automotif yang lebih besar dengan harga kompetitif dan ciri-ciri teknologi inovatif.

Dianggap sebagai kereta terbaik yang pernah dikeluarkan oleh Proton, Iriz dipasang dengan enjin pemasaan injap berubah empat silinder yang memenuhi standard Euro-4 bagi menjadikannya cekap bahan api dan efektif dari segi kos.

Pengerusi Proton Tun Dr Mahathir Mohamed semasa majlis pelancaran kereta itu pada 25 September berkata syarikat tersebut telah menetapkan standard global bagi kereta baharu itu sebagai penanda aras bagi meningkatkan daya saing dan menambah baik kebolehpasaran keretanya di luar negara.

Sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia hab bagi kenderaan cekap tenaga (EEV), Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) muncul dengan model “Axia”.

Kereta itu merupakan EEV pertama Malaysia dan menerima sambutan sangat menggalakkan daripada pengguna.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Aminar Rashid Salleh berkata model terbaharu itu merupakan kereta paling cekap bahan api syarikat itu dan boleh dipandu sehingga 21.6 kilometer seliter, memiliki ruang yang luas dan tampil dengan ciri-ciri unik Malaysia di samping harga yang mampu milik.

Sementara itu, pengeluar kereta global lain mengharapkan lanjutan insentif bagi kenderaan elektrik dan hibrid.

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia Alan Harris berkata kenderaan elektrik yang masih boleh dikategorikan sebagai teknologi baru ditemui perlu diberikan insentif untuk berada dalam pasaran Malaysia.

“Kenderaan elektrik juga memerlukan insentif dalam bentuk lanjutan pengecualian duti atau bagi cukai.

“Terdapat insentif dalam bajet sebelum ini sebelum NAP 2014 yang menetapkan bahawa hanya kenderaan dipasang tempatan akan mendapat insentif.

“Tetapi kenderaan elektrik masih baharu, tidak seperti EEV. Kereta elektrik perlukan permintaan yang baik dan dalam pada itu, masih perlu diimport,” katanya.

Pengeluar kereta gergasi Jerman lain, Mercedes-Benz, pula berharapkan insentif bagi kenderaan hibrid dilanjutkan.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd Kai Schlickum berkata kerajaan mengambil langkah penting dalam hala tuju yang betul dengan NAP memberikan insentif kepada hibrid yang dipasang tempatan.

“Ia memberikan manfaat kepada kami, terutamanya Hibrid S-classs kami. Dengan kelayakan model S400L dan menerima pengecualian duti penuh, kami berbangga dapat menyumbang dalam membantu Malaysia memenuhi hasratnya menjadi hab EEV serantau.

“Bagaimanapun, oleh kerana insentif hibrid akan berakhir pada 2015, kami harap ia dapat dilanjutkan,” katanya.

Mercedes-Benz melabur sebanyak RM15 juta melengkapkan kilang pemasangan sedia adanya di Pekan, Pahang, bagi model hibrid. – Bernama/Fotosinarharian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");