Jenayah

‘Bayang kepala anak pecah’

KEMAMAN – “Dalam keadaan terkejut, apa yang terbayang di fikiran saya, kepala anak mungkin pecah kalau saya tak tarik dia semula.”

Demikian kata Haznita Abdul Ghani, 37, yang pantas bertindak ketika diserang peragut yang menyentap anak lelakinya kerana menyangka anaknya itu beg tangan.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.45 malam di atas Jambatan Bukit Kuang pada 22 September lalu ketika mangsa yang juga suri rumah bersama anak lelakinya, Muhammad Aidil Zahari, 5, sedang menaiki motosikal untuk pulang ke rumah mereka di Bukit Kuang.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi dua beranak itu kerana selepas pergelutan berlaku, skuter Yamaha Nouvo LC yang mereka naiki terjatuh menyebabkan mereka tercampak dan berguling atas jambatan.

Kejadian tersebut menyebabkan ibu enam anak itu mengalami luka teruk di tangan kanan dan beberapa bahagian badan, manakala anak keempatnya pula tercabut isi di tiga jari kiri.

Peragut sangka beg tangan

Menceritakan semula detik ngeri itu, Haznita berkata, ketika kejadian, dia dari rumah ibunya di Kampung Mak Chili Chukai untuk mengambil buku anaknya yang tertinggal.

“Namun semasa menuruni jambatan yang laluannya gelap kerana lampu jalan tidak menyala, dari cermin sisi motosikal, saya nampak seorang penunggang motosikal lelaki mengekori rapat motosikal kami.

“Dalam sekelip mata, suspek tiba-tiba mematikan lampu motosikalnya dan himpit sisi motosikal kami lalu merentap anak yang berada di depan saya, tetapi saya rentap semula anak untuk selamatkan dia,” katanya.

Menurut Haznita, ketika kejadian, anaknya itu memakai baju sejuk berwarna gelap yang mempunyai penutup kepala.

“Mungkin dia sangka anak saya adalah beg tangan yang saya letakkan dalam raga motosikal, sebab itu dia tarik anak saya. Waktu dirapati, terdetik juga dia mahu meragut dan rupa-rupanya telahan saya benar.

“Sejurus selepas jatuh, saya berguling dua kali dan terdengar laungan anak yang memanggil ‘Ma… ma… adik berdarah’. Saya segera ambil anak yang ditindih skuter dan letakkan dia di tepi pengadang jalan,” katanya yang masih trauma dengan insiden itu.

Muhammad Aidil mengalami pendarahan teruk kerana selain isi jarinya tercabut, mulutnya turut mengeluarkan banyak darah berikutan tergigit lidah semasa jatuh.
Sukar dapatkan bantuan

Menurut Haznita, beberapa saat selepas kejadian, terdapat kereta melalui laluan tersebut dan ketika itu, dia mendapati kelibat peragut sudah tiada di lokasi tersebut.

“Saya sempat cam fizikal lelaki itu yang bertubuh kurus dan tinggi, namun mukanya saya tak cam sebab dia tutup muka dengan wiser topi keledar. Dia naik motosikal jenis lama, tapi saya tak sempat lihat nombor pendaftaran motosikal itu,” katanya.

Mangsa juga sedih kerana sejurus kejadian, usaha awalnya menahan beberapa kenderaan yang melalui lokasi tersebut tidak berjaya kerana tiada kenderaan berhenti sebelum dua pemuda datang membantu beberapa minit kemudian.

“Mereka ingatkan kami terbabas sebelum saya cerita perkara sebenar. Kami kemudian dihantar ke Hospital Kemaman dan dapatkan rawatan sebagai pesakit luar,” katanya.

Belum buat laporan polis

Bagaimanapun sehingga semalam, mangsa yang juga isteri kepada seorang penyelia di sebuah syarikat industri di Teluk Kalong itu, masih belum membuat laporan polis berhubung kes itu dan bercadang membuat laporan dalam masa terdekat agar kejadian sama tidak berulang pada orang lain.

Selepas kejadian itu, mangsa terpaksa menumpang di rumah ibunya di Kampung Mak Chili yang membantu menguruskan anak-anak terutama anak perempuan bongsu kembarnya yang berusia 7 bulan.

Berikutan luka teruk dialaminya, pergerakan Haznita terbatas dan tidak mampu untuk melakukan kerja-kerja rumah secara lasak.

“Saya nasihati semua penunggang wanita agar hati-hati. Kalau motosikal ada tempat simpan barang di bawah tempat duduk, simpanlah beg tangan atau beg duit di dalamnya. Lepas kejadian ini berlaku, saya sangat gerun lihat ada antara anak gadis dan wanita pakai beg tangan secara silang ketika menunggang motosikal.

“Sayangilah nyawa, jangan sengaja buka ruang kepada peragut untuk buat jenayah kerana ia bukan hanya libatkan wang dan harta benda, tetapi juga nyawa,” katanya.

Ahli Parlimen hulur sumbangan

Sementara itu, nasib menimpa mangsa turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Rohani Abdullah yang menyalurkan bantuan sebanyak RM200 untuk meringankan beban.

Sumbangan itu disampaikan wakil mereka, Zawati Mohamad.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");