Berita Hari Ini

Cikgu jemput di rumah

Kuantan: “Setiap tahun sudah menjadi tugas kami mengejutkan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) daripada tidur di rumah mereka. Selepas itu, kami tunggu mereka bersiap dan membawa murid berkenaan menggunakan motosikal ke sekolah.

“Jika tidak berbuat demikian, kami bimbang ada antara murid Orang Asli yang tidak hadir untuk menduduki kertas UPSR. Tambahan pula, hari ini (semalam) mereka perlu menduduki semula kertas ujian Sains dan Bahasa Inggeris.

“Biarpun ini luar bidang tugas, tetapi ia perlu dilakukan bagi mengelak mereka keciciran dalam pelajaran,” kata Guru Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Emas, Sungai Lembing, di sini, Nawawi Sarupin.

Dia ditemui selepas bersama seorang lagi guru sekolah itu, Mohd Fadhil Omar mengangkut calon UPSR sekolah berkenaan di Perkampungan Orang Asli, di sini, seawal jam 6.45 pagi semalam.

Nawawi berkata, biarpun sekolah berkenaan hanya mempunyai 11 calon UPSR tahun ini, hanya tujuh daripada mereka hadir bagi menduduki peperiksaan itu semalam.

Menurutnya, seorang daripada mereka tidak dapat dikesan manakala tiga lagi enggan menduduki peperiksaan itu walaupun berkali-kali diingatkan berbuat demikian.

“Adakalanya pada hari persekolahan, guru perlu menjejak murid yang tiba-tiba hilang kerana mengikut bapa mereka berburu di hutan.

“Bayangkan apabila mereka terpaksa menduduki semula dua kertas itu, tambahan pula ada ibu bapa tinggal jauh dari sekolah dan tidak mempunyai pengangkutan menghantar anak mereka untuk menduduki UPSR.

“Perkara ini (menjemput murid di rumah) mungkin nampak remeh, tetapi ia memberikan kesan yang besar kepada nasib masyarakat orang Asli di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata, guru, khususnya yang berkhidmat di pedalaman perlu menggunakan pendekatan psikologi memujuk murid yang enggan hadir ke sekolah datang menduduki UPSR.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");