Laporan Eksklusif

Dunia Islam perlu bangunkan industri SME – Najib

KUALA LUMPUR : Dunia Islam perlu bekerjasama meneroka dan membangunkan industri Perusahaan Kecil Dan Sederhana (SME) berikutan bidang berkenaan kini semakin berpotensi, mempunyai pasaran luas dan sudah berkembang maju di dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata walaupun masih terdapat halangan dari segi pembangunan dan kemakmuran, negara Islam secara amnya sudah mencapai kemajuan luar biasa dan menjadi kumpulan penting dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi global.

Katanya, banyak negara Islam juga sudah berjaya mengubah imejnya, menjadi hab dan sumber penting dalam pelbagai bidang termasuk logistik, minyak dan gas, perkhidmatan serta kewangan Islam.

“Menurut laporan Pusat Penyelidikan Ekonomi dan Sosial serta Latihan Statistik Negara-Negara Islam pada 2013, jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara anggota OIC telah berkembang 25.3 peratus sepanjang tempoh 2008 hingga 2012, iaitu daripada ASD$7.5 trilion (RM22.5 trilion) pada tahun 2008 kepada ASD$9.4 trilion (RM28.2 trilion) pada 2012.

“Berdasarkan angka itu, inilah sebabnya mengapa kita perlu untuk terus meneroka dan bekerja bersama-sama mencari pendekatan baru, menerusi cara berfikir yang baru dan membangunkan satu kaedah revolusi bagi menentukan bagaimana usahawan dan pemodal kita boleh memainkan peranan untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Pembangunan Antarabangsa SME Bank-Pembangunan Negara bagi Negara Ahli-Ahli Bank Pembangunan Islam (ADFIMI) di ibu negara, hari ini. Hadir sama, Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Dalam ucapannya, beliau turut menyarankan SME supaya menerokai bidang kewangan Islam kerana sektor berkenaan antara yang paling cepat berkembang di pasaran kewangan.

Najib berkata transformasi kewangan di dunia Islam juga mampu membawa pulangan besar kepada usahawan SME, namun mengakui masih berdepan cabaran terutama dari segi keperluan modal insan, didikan kepada pengguna serta dasar yang mesra perniagaan.

Justeru itu, beliau berkata sebagai perintis kepada kewangan Islam, Malaysia boleh dan perlu memainkan peranan dan pengaruhnya dalam memastikan pembangunan kepada sektor terbabit terus membangun pada masa depan.

“Dalam persatuan seperti ADFIMI juga, kita harus mewujudkan satu platform bekerja untuk bekerjasama, berkongsi pengalaman, meningkatkan kerjasama dan memudahkan aktiviti ekonomi secara rentas sempadan,” katanya.

Najib juga berkata, Malaysia meletakkan sasaran untuk meningkatkan sumbangan makroekonominya sebanyak 41 peratus kepada KDNK negara menjelang 2020, meliputi 62 peratus sumbangan guna tenaga dan 25 peratus eksport.

“Ini kelihatan sukar, tetapi saya percaya ia tidak mustahil. Bukti juga menunjukkan bahawa Malaysia kini sedang membina kemajuan yang baik. Menurut Laporan Menjalankan Perniagaan (Doing Business) 2013 yang dikeluarkan Bank Dunia, Malaysia kini diiktiraf negara keenam paling mudah menjalankan perniagaan di dunia,” katanya.

-berita harian/Foto Aizuddin Saad

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");