Jenayah

Empat anggota Kastam tidak mengaku rasuah subahat seludup arak

SHAH ALAM: Empat pembantu penguat kuasa Kastam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap 12 pertuduhan menerima rasuah berjumlah keseluruhan RM129,400 berhubung penyeludupan arak antara April dan Julai lalu.

Empat pegawai kastam berkenaan ialah Nor Shafik Shamsinor, 29; Che Zulkifli Che Ismail, 29; Mohd Izwan Ramli, 31 dan Azahar Zainuddin, 32.

Semua tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen yang sama di hadapan Hakim Datuk Noradidah Ahmad.

Azahar Zainuddin didakwa atas lima tuduhan menerima suapan antara RM2,000 hingga RM42,800 daripada seorang individu sebagai dorongan melepaskan kenderaan yang membawa arak tanpa membuat pemeriksaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dua lokasi berbeza di sebuah restoran di Pulau Indah dan pintu utama Pelabuhan Barat Zon Bebas Cukai Pelabuhan Klang (PKFZ), Klang antara 14 April hingga 24 Julai lalu.

Zulkifli Che Ismail, pula didakwa atas tiga tuduhan menerima suapan antara RM2,000 hingga RM6,000 daripada seorang individu sebagai dorongan melepaskan kenderaan yang membawa arak tanpa membuat pemeriksaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dua lokasi berbeza di tepi jalan simpang empat Kampung Pulau, Jalan Uda Habib, Pulau Indah dan pintu utama Pelabuhan Barat Zon Bebas Cukai Pelabuhan Klang (PKFZ), Klang antara 14 Mei hingga 25 Julai lalu.

Nor Shafik Shamsinor pula yang berdepan tiga tuduhan didakwa menerima rasuah bernilai RM6,600 daripada seorang individu sebagai dorongan tidak menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan yang membawa keluar arak.

Dia didakwa melakukan kesalahan di pintu utama Pelabuhan Barat Zon Bebas Cukai Pelabuhan Klang (PKFZ), Klang antara April dan Julai tahun ini.

Hakim Noradidah menetapkan 30 Oktober ini untuk sebutan semula kes keempat-empat tertuduh dan menetapkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin termasuk pasport ditahan terhadap Che Zulkifli dan Azahar.

Nor Shafik dan Mohd Izwan pula dikenakan ikat jamin masing-masing sebanyak RM8,000 dan RM5,000 seorang.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");