Perak Hari Ini

Kakitangan Awam Perlu Tingkat Kemahiran Berkomunikasi, Penguasaan Bahasa

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyarankan supaya kakitangan awam di Perak berusaha meningkatkan tahap penguasaan bahasa dan kemahiran berkomunikasi masing-masing.

Katanya lagi, ia antara langkah yang perlu diambil untuk memperbaiki mutu perkhidmatan awam di Perak iaitu dengan meningkatkan keupayaan kakitangan awam secara menyeluruh bukan sekadar melalui kaedah merit.

“Melalui latihan yang berterusan dan pelbagai langkah yang diperkenalkan, kita dapat menghasilkan kualiti kerja baik dan teratur,” katanya.

Kemampuan bertutur dalam bahasa Malaysia dan Inggeris perlu katanya, bagi mendedahkan pegawai dengan aspek hubungan antarabangsa kelak.

Jelasnya lagi, pendekatan sebegitu berupaya untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan awam agar menjadi
lebih baik pada masa akan datang.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perbincangan ringkas bersama Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA), Mohamad Zabidi Zainal yang membuat kunjungan hormat di Ipoh, hari ini.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri Perak juga mengsyorkan beberapa langkah antaranya dengan menghantar kakitangan awam yang berkelayakan mengikuti kursus dan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Langkah ini dikenal pasti juga selain daripada sistem merit yang sedia ada bagi proses kenaikan pangkat yang diamalkan hingga kini,”ujarnya lagi.

Faktor merit katanya, masih lagi menjadi penilaian yang penting untuk kenaikan pangkat seseorang kakitangan awam berkenaan namun perlu juga disertakan dengan kemahiran yang tertentu bagi melayakkan mereka.

“Negeri Perak mencadangkan agar pegawai didedahkan dengan kemahiran komunikasi termasuklah yang melibatkan hubungan seharian antara kakitangan awam, pegawai daerah dan pegawai kanan dalam kerajaan negeri,” ulasnya lagi.

Sementara itu, beliau turut menyifatkan anugerah yang diterimanya di Global Islamic Finance Awards (GIFA) baru-baru ini sebagai kejayaan bersama termasuklah melalui penglibatan para media.

Katanya lagi, masih terdapat pelbagai aspek untuk diperbaiki lagi namun pengiktirafan tersebut berupaya memberi rangsangan untuk rakyat negeri Perak amnya dan semua pihak terlibat khususnya untuk terus bekerja keras meneruskan agenda membasmi kemiskinan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");