Perak Hari Ini

KPM Digesa Nilai Semula Larangan Guna Keputusan Percubaan SPM

Penasihat Parti Gerakan Malaysia, Datuk Seri Chang Ko Youn meminta agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menilai semula larangan penggunaan keputusan percubaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk pelajar yang mahu meneruskan pengajian di kolej swasta dan pra-universiti.

Jelasnya, tindakan tersebut perlu dinilai supaya tidak menimbulkan kesulitan kepada ibu bapa dan pelajar khususnya untuk merancang masa depan mereka.

“Ia (guna keputusan percubaan SPM) adalah amalan yang dipraktikkan sejak dahulu lagi bagi pelajar yang ingin memohon tempat di kolej, universiti atau A Level bagi kemasukan universiti luar negara,” katanya.

Tambahnya lagi, kaedah tersebut juga dapat menjimatkan masa pelajar kerana mereka tidak perlu menunggu antara tiga hingga empat sebelum keputusan sebenar peperiksaan SPM dikeluarkan.

“Dalam tempoh menunggu itu, dikhuatiri para pelajar akan menggunakan waktu terluang dengan melakukan aktiviti yang tidak berfaedah dan tidak sihat,” tegasnya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Namun, beliau berpendapat tindakan dan arahan pihak KPM berkaitan isu tersebut adalah berasas berikutan tindakan sesetengah universiti swasta dan kolej yang menyalahgunakan keputusan percubaan SPM sebelum ini.

“Ada sesetengah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) mengeluarkan syarat tertentu seperti lulus lima kredit tetapi sekiranya pelajar tersebut gagal mencapai kelulusan minimum, seharusnya pelajar itu tidak dibenarkan untuk menuntut di kolej situ atau perlu menduduki semula peperiksaan tersebut,” katanya.

Malangnya, sesetengah IPTS enggan berbuat demikian dan membenarkan pelajar yang tidak berkelayakan meneruskan pengajian mereka, tegas beliau lagi.

“Situasi ini telah menyebabkan pihak kementerian terpaksa mengambil tindakan sedemikian tetapi saya khuatir arahan tersebut akan menjejaskan majoriti pelajar yang mematuhi syarat tersebut,” katanya lanjut.

Tindakan KPM itu juga katanya, adalah tidak wajar dan sepatutnya tindakan tegas diambil terhadap IPTS yang melanggar arahan kementerian.

“Kementerian perlu mengambil tindakan tegas kepada pihak IPTS yang menyalahgunakan arahan yang telah ditetapkan dengan menggantung lesen operasi mereka.

“Jika sekiranya arahan ini dikuatkuasakan, saya bimbang ia akan membawa kesan yang tidak baik kepada semua,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");