Sukan Hari Ini

Malaysia ragui proses antidoping Sukan Asia

Khairy Jamaluddin (dua dari kanan) diberi penerangan oleh Pengarah Pusat Kawalan Doping, Datuk Dr. Mohamed Isa Abd Majid (tengah) ketika melawat makmal kimia Pusat Kawalan Doping, Universiti Sains Malaysia pada 18 Mei 2014. Foto: ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR:-

Kementerian Belia dan Sukan memandang serius tuduhan penggunaan dadah ke atas atlet wushu negara, Tai Cheau Xuen di temasya Sukan Asia 2014 sehingga menyebabkan pingat emas yang dimenangi atlet itu ditarik balik.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, Malaysia komited memastikan pasukan negara besih dengan tidak ada seorang atlet terlibat dalam penggunaan bahan terlarang untuk meningkatkan prestasi masing-masing.

Namun katanya dalam kes Cheau Xuen, pihaknya meragui bagaimana sampel air kencing atlet itu dikendalikan ke atas sampel tersebut.

“Saya difahamkan sampel air kencing tersebut, berserta empat sampel lain diambil pada pukul 5.06 petang (waktu Korea) 20 September lalu di venue acara wushu dan hanya dibawa keluar dari situ pada pukul 7.15 malam (hari yang sama), untuk dibawa ke Doping Control Command Centre (DCCC).

“Dokumen sampel air kencing seterusnya mencatatkan bahawa ia tiba di DCCC pada pukul 11.10 pagi, dengan anggapan tarikh 21 September, memandangkan tiada tarikh dicatatkan pada sampel tersebut.

“Kemudiannya, sampel tersebut dibawa ke Institut Sains dan Teknologi Korea (KIST) dan tiba ke makmal institut berkenaan pada 1.29 petang, sekali lagi dengan anggapan tarikh 21 September, memandangkan tiada tarikh yang dicatatkan.

“Ketiadaan catatan tarikh ini menimbulkan tanda tanya serta keraguan terhadap kronologi perjalanan sampel berkenaan,”katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Kata Khairy, jika anggapan tentang tarikh dan masa tersebut adalah tepat berdasarkan maklumat yang ada, ia bermaksud sampel tersebut berada dalam simpanan selama hampir 16 jam, dari venue wushu ke DCCC.

“Ini adalah sesuatu yang amat pelik dan menimbulkan kesangsian ke atas integriti CoC. Mengapa mengambil masa 16 jam?

“Jikapun kita mengambil kira masa dan jarak di antara venue, DCCC dan KIST, ia masih tidak masuk akal mengapa ia mengambil masa yang begitu lama.

“Jelas ia tidak disimpan di venue dan tidak juga dihantar ke KIST dengan segera. Sekiranya penganjur mengemukakan alasan ia disimpan di peti sejuk, tiada sebarang rekod yang menyatakan sedemikian,” dakwanya.

Justeru katanya, Malaysia telah mengemukakan kesemua persoalan ini kepada panel disiplin temasya itu yang dipengerusikan oleh Tayyab Ikram. Kita juga telah menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) untuk menyuarakan ketidakpuasan hati bagaimana proses antidoping dijalankan.

“Lebih menimbulkan persoalan ialah dalam perjumpaan kedua dengan panel tersebut, mereka telah mengemukakan dokumen sampel air kencing berkenaan yang secara jelas telah dipinda, berbeza dengan butiran yang kita terima secara rasmi sebelum itu.

“Versi dokumen yang telah dipinda itu tidak pernah dikemukakan kepada pihak kontinjen negara dan ia adalah sesuatu yang di luar kelaziman, memandangkan kita berhak mendapat maklumat sepenuhnya tentang sampel berkenaan.

“Oleh itu, Malaysia akan mengemukakan rayuan kepada pihak tertinggi untuk ditimbang tara demi hak dan kepentingan atlet tersebut,” katanya.

– MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");