Berita Hari Ini

Menteri jamin soalan tak bocor lagi

KUALA LUMPUR – Kejadian kertas soalan bocor tidak akan berulang dalam mana-mana peperiksaan awam.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh ketika memberikan jaminan itu berkata, kerajaan menyerahkan tanggungjawab kepada sebuah jawatan kuasa bebas untuk mengkaji prosedur operasi standard Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) susulan kes kebocoran kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), baru-baru ini.

“Saya yakin jawatankuasa berprofil tinggi ini dapat memberikan cadangan yang baik untuk kerajaan. Dengan ini, kita akan pastikan tak akan berlaku lagi (kebocoran soalan) pada peperiksaan lain seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya  yang ditemui ketika melakukan tinjauan peperiksaan semula UPSR di Sekolah Kebangsaan Bangsar.

Semalam, calon UPSR menduduki semula peperiksaan ulangan bagi subjek Bahasa Inggeris dan Sains.

Manakala, tarikh peperiksaan ulangan subjek Matematik dan Bahasa Tamil ditetapkan 9 Oktober ini.

Seramai 472,853 murid menduduki UPSR tahun ini di seluruh negara.

Menurut beliau, jawatan kuasa tersebut dijangka memberi cadangan kepada kerajaan selepas siasatan polis selesai.

“Walaupun kita ada pandangan sendiri, elok kita dengar pandangan yang akan dikemukakan jawatan kuasa itu. Kita akan naik taraf dan pastikan penilaian pada masa depan akan dilaksanakan.

“Setakat ini, jawatan kuasa masih menunggu maklumat terperinci polis,” katanya.

Idris berkata, peperiksaan ulangan itu dilihat menjadi pengukur prestasi murid.

“Kalau guna kertas yang bocor itu, kita tak akan dapat keputusan tepat mengenai prestasi sebenar pelajar. Malah, penangguhan ini dilihat positif oleh ibu bapa dan guru.

“Saya mengucapkan tahniah kepada ibu bapa dan guru yang beri rangsangan kepada murid-murid. Kita lihat hari ini (semalam) murid-murid hadir dengan penuh semangat dan cukup bersedia,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");