Membawang Hari Ini

Menunggu naskhah sehebat PGL

Sejak kali pertama mementaskan teater Puteri Gunung Ledang (PGL) The Musical pada 2006, bermulalah perjalanan pelakon, penerbit dan pemilik Enfiniti Vision Media Sdn Bhd, Puan Sri Tiara Jacquelina Eu Abdullah dalam menghasilkan pelbagai teater.

Malah, PGL The Musical turut ditayangkan sebanyak tiga kali atas pencapaian teater itu yang mendapat sambutan begitu menggalakkan daripada orang ramai. Sejak itu, satu demi satu teater terbitannya menjadi perhatian antaranya P Ramlee The Musical, The Secret Life of Nora dan banyak lagi. Malah, P Ramlee The Musical baru saja melabuhkan tirai pementasannya buat kali ketiga di Istana Budaya, malam Isnin lalu.

Bersama wartawan Syanty Octavia Amry ([email protected]) Tiara berkongsi suka dukanya sepanjang pementasan kisah benar seniman dan seniwati negara, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarhamah Puan Sri Saloma.

RAP: Kenapa Puan Sri lebih tertarik mementaskan teater, sedangkan pada awal Tiara terbabit dalam drama dan filem?

Tiara: Saya jatuh cinta dengan medium teater muzikal ini sudah lama sejak menonton Phantom of The Opera, Miss Saigon dan Les Miserables di London. Dari situ lahir sebuah impian untuk menghasilkan muzikal hebat berdasarkan cerita Melayu pula.

Sejak menghasilkan PGL pada 2006 dan P Ramlee pada 2007 saya mula terbuai dan semakin kusyuk dalam mencari sesuatu yang baru untuk dipentaskan di teater.

Tumpuan pada teater membuatkan saya tidak berpeluang berfikir mengenai pembikinan filem dan drama TV. Namun, rasa rindu untuk menerbitkan filem kembali selepas menonton tayangan semula filem PGL yang ditayangkan di pawagam sempena Hari Kemerdekaan lalu.

Insya-Allah jika bertemu dengan naskhah yang sehebat atau lebih hebat daripada PGL, saya akan cuba menerbitkan filem pula.

RAP: Mengapa Puan Sri memilih kisah P Ramlee untuk dipentaskan?

Tiara: Sebagai anak seni, saya dan rakan seperjuangan ingin memberi ‘tribute’ kepada P Ramlee dan rakannya dari dunia Studio Jalan Ampas. Kerana kegigihan mereka, lahir dunia seni dan hiburan di Singapura dan Malaysia.

Kisah riwayat P Ramlee sangat penting untuk diceritakan kepada semua, terutama generasi muda yang belum sempat mengenalinya, hanya menerusi filem dan lagunya. Padahal kisah hidup P Ramlee di sebalik tabir, penuh dengan masam manis dan tak kurang juga saat yang pahit dan sedih, boleh jadi teladan untuk kita semua.

Kami memilih untuk persembahkan dalam bentuk muzikal kerana ini medium yang saya sangat minat dan teater muzikal mampu menyentuh penonton dengan cara tersendiri.

Setiap malam, sebelum pementasan dimulakan, warga kerja dan pelakon akan berkumpul dan menyedekahkan Al-Fatihah untuk P Ramlee dan semua warga Malay Filem Productions yang disebut dalam muzikal kami.

Kami mengenang jasa mereka dan pengorbanan yang mereka lalui untuk lahirkan seni tanah air. Tanpa mereka tak adalah dunia seni dan hiburan yang kita kenal hari ini.

RAP: Harapan Puan Sri untuk dunia teater?

Tiara: Saya seronok melihat semakin ramai golongan muda datang menonton teater. Lebih seronok melihat orang membawa anak-anak mereka untuk mengenali dunia teater. Teater adalah bentuk hiburan yang paling rumit proses pembuatannya kerana perlukan komitmen dan dedikasi penuh berbulan-bulan.

Tidak ada ruang untuk kerja tangkap muat tapi, hasilnya juga paling memuaskan kalau dipentaskan dengan sempurna dan kita dapat merasa penghargaan daripada penonton secara ‘live.’

Semoga akan lebih ramai lagi yang menonton teater dan mewarnai industri dunia teater.

Oleh itu, tidak hanya drama dan filem saja, pastinya teater juga ada peminatnya yang tersendiri.

-metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");