Perak Hari Ini

Pengguna Bimbang Kesan Kenaikan Harga RON95, Diesel

Kenaikan harga minyak petrol RON95 dan diesel yang berkuatkuasa tengah malam tadi menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat di Perak khususnya golongan yang berpendapatan rendah.

Ini kerana pengguna berasa bimbang kenaikan harga bahan bakar itu akan menyebabkan harga barangan keperluan harian akan turut meningkat tidak lama lagi.

Rata-rata pengguna yang ditemui Peraktoday.com.my menyuarakan rasa bimbang terhadap kenaikan harga petrol RON95 kepada RM2.30 sen seliter berbanding RM2.10 sebelum ini.

Seorang pekerja swasta, Noraini Samad, berkata kenaikan harga bahan bakar itu sudah pastinya membimbangkan masyarakat khususnya golongan yang berpendapatan rendah.

“Mungkin ada yang cakap harga petrol naik 20 sen tak jadi masalah tetapi ia memberi banyak kesan untuk jangka masa panjang.

“Golongan peniaga atau peruncit khususnya akan menggunakan alasan ini untuk menaikan harga jualan dan perkhidmatan yang ditawarkan dan akhirnya menjejaskan pendapatan pengguna terutamanya yang bergaji rendah rendah,” ujarnya.

Peniaga kecil-kecilan yang hanya mahu dikenali sebagai Lina berkata, kenaikan harga tersebut amat membebankan perbelanjaan harian kerana berkemungkinan besar harga barang keperluan juga akan meningkat.

“Saya rasa cukup terbeban kerana apabila harga minyak naik, harga semua barang juga mungkin akan naik.

“Bagi golongan berpendapatan rendah, kami tiada pilihan kecuali terpaksa membeli kerana barangan tersebut kerana ia merupakan keperluan dan bukan kemahuan,” katanya lagi.

Seorang juruteknik di sebuah syarikat swasta, Amran Yaakob pula berkata, kenaikan harga minyak akan menyebabkan perbelanjaan bulanan untuk mengisi minyak ke tempat kerja semakin bertambah selepas ini.

“Saya menggunakan kenderaan sendiri untuk ke tempat kerja dan apabila harga petrol naik, sudah tentu saya perlu berbelanja lebih hanya untuk mengisi minyak.

“Ini amat membebankan berikutan kos sara hidup yang tinggi di bandar berbanding di luar bandar,” katanya lagi.

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengumumkan pengurangan subsidi harga minyak petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen berkuatkuasa pada awal pagi, 2 Oktober (Khamis).

Dengan itu, harga minyak petrol RON95 dinaikan kepada RM2.30 seliter berbanding harga sebelumnya, RM2.10 manakala bagi diesel pula daripada RM2 kepada RM2.20 seliter.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");