Pengguna khususnya pesakit yang sering berulang alik ke Klinik Kesihatan Greentown, dekat Ipoh kini boleh menarik nafas lega apabila bumbung pondok bas di Jalan Raja Musa Aziz yang dilaporkan rosak teruk telah dibaiki semula, baru-baru ini.
Tindakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang membaiki semula bumbung yang rosak itu wajar mendapat pujian dan penghargaan daripada wargakota Ipoh khususnya pengguna pengangkutan awam.
Menurut seorang pekerja swasta yang enggan dikenali, pengguna kini boleh menggunakan kemudahan awam itu dengan lebih selesa selepas bumbung yang rosak teruk dibaiki oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Saya juga berharap agar MBI dapat membaiki segera kemudahan awam lain yang sudah rosak di sekitar bandar raya Ipoh untuk keselesaan pengguna di masa akan datang,” katanya lagi.
Pada 8 September lalu, Peraktoday.com.my melaporkan keluhan pengguna yang meminta pihak MBI membaiki segera bumbung pondok bas di Jalan Raja Musa Aziz yang didakwa rosak teruk sejak beberapa minggu yang lalu.
Walaupun struktur pondok bas itu kelihatan kukuh, agak menyedihkan apabila melihat bumbung yang rosak itu tidak digantikan dengan yang baru.
Tinjauan Peraktoday.com.my mendapati pondok bas itu juga sering menjadi tumpuan orang ramai yang ingin menggunakan khidmat pengangkutan teksi.
Ramai pesakit yang selesai berurusan di Klinik Kesihatan Greentown akan menunggu di pondok bas tersebut untuk pulang ke rumah masing-masing.
Seorang suri rumah yang ingin dikenali sebagai Marawati, 35, berkata masalah itu sudah berlarutan sejak beberapa minggu yang lalu tetapi sehingga kini, tiada tindakan proaktif diambil oleh pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Tambahnya, masalah itu akan menjadi lebih serius apabila musim hujan.
“Masalah ini sudah lama menimbulkan kesulitan kepada pengguna yang kebanyakannya adalah pesakit yang mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Greentown.
“Sekiranya hujan turun, pengguna mungkin basah kuyup dan apabila musim panas, mereka pastinya akan bermandi peluh kerana bumbung yang rosak belum diganti baru,” katanya lagi.