Berita Hari Ini

Penoreh getah rayu insentif dalam Bajet 2015

Harga getah yang kini berada pada paras rendah menyukarkan keadaan para peladang yang bergantung harap kepada komoditi itu untuk menyara kehidupan tambahan pula apabila harga petrol dan diesel dinaikkan sebanyak 20 sen minggu lalu.

Seorang penoreh getah, Ahmad Abu Bakar berkata, dengan harga getah hanya RM1.50 sekilogram beliau hanya mampu memperolehi pendapatan sekitar RM300-RM400 sebulan bergantung kepada keadaan cuaca.

Sekiranya hujan, beliau tidak boleh menoreh kerana air hujan bakal merosakkan susu getah.

Menurut, nasib lebih teruk menimpa para penoreh getah yang tidak mempunyai kebun sendiri sebaliknya mengambil upah menoreh apabila hasil jualan terpaksa dibahagi dua dengan pemilik kebun getah.

“Saya menoreh di kebun getah milik sendiri seluas dua ekar tetapi sekarang harga getah sangat murah, pendapatan saya sangat sedikit, harga barangan pula yang semakin mahal.

“Baru-baru ini, kerajaan menaikkan harga minyak. Harga barangan mesti lebih mahal selepas ini sedangkan pendapatan kami semakin menyusut disebabkan harga getah yang rendah.

“Sekarang pula musim hujan, sudah beberapa tidak turun menoreh sedangkan saya perlu mula mengumpul duit untuk keperluan persekolahan anak-anak,” luahnya kepada Malaysia Gazette di sini.

Menurut Ahmad, biarpun pelbagai bantuan persekolahan diberikan oleh kerajaan namun sebagai bapa, beliau perlu memastikan anak-anaknya menjalani proses pembelajaran dengan sempurna atau sekurang-kurangnya mempunyai wang belanja setiap hari di sekolah.

“Tidak bolehkah kerajaan menaikkan harga getah supaya ringan sedikit beban kami?,” soalnya yang turut mengambil upah melakukan kerja-kerja tambahan seperti memanjat kelapa dan menjala ikan sungai bagi menampung kehidupan.

Sukar untuk menjawab persoalan itu kerana harga getah tempatan ditentukan oleh harga dunia dan komoditi tersebut memang sedang mengalami kejatuhan disebabkan pelbagai faktor antaranya kelembapan ekonomi global.

Tidak sabar menanti pembentangan Bajet 2015, Ahmad mengharapkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diteruskan dan diserahkan lebih awal supaya mudah untuknya membeli keperluan persekolahan empat anaknya yang sedang berada di sekolah menengah dan rendah.

Beliau juga mengharapkan kerajaan mengumumkan insentif-insentif lain khususnya kepada pekebun kecil yang ketika ini terpaksa bergelut dengan kejatuhan harga komoditi getah dan dalam masa yang sama menghadapi kos sara hidup yang semakin tinggi biarpun tinggal di luar bandar.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");