Jenayah

Rasuah tak laku

Kuala Lumpur: Seorang wanita warga Thailand tanpa segan silu menawarkan rasuah RM50,000 kepada pegawai polis bagi membebaskan kekasihnya warga Nigeria yang diberkas kerana memiliki dadah.

Dalam kejadian sekitar jam 4 pagi semalam, wanita berusia 34 tahun itu bertindak meletakkan wang tunai RM17,500 di atas meja pegawai polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras selepas melawat kekasihnya itu di lokap.

Tindakan wanita itu bagaimanapun mengundang padah apabila dia terus digari dan bakal didakwa mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Abdul Rahim Hamzah Othman berkata, pihaknya sebelum itu menahan seorang lelaki warga Nigeria kira-kira jam 8 malam kelmarin di Taman Connaught, Cheras di sini.

Menurutnya, suspek yang sedang menjual dadah kepada pelanggan diberkas polis bersama 4.8 kilogram ganja bernilai RM16,000.

“Ketika ditahan, suspek berusia 33 tahun itu memiliki 12 ketulan ganja mampat seberat 218 gram di dalam poket seluarnya.

“Polis turut menemui 19 ketulan ganja seberat 417 gram dalam beg plastik yang dibuang suspek berdekatan lokasi kejadian,” katanya.

Susulan itu pihaknya menyerbu sebuah rumah sewa milik suspek di Taman Tayton View di sini, dan menemui 12 ketulan ganja lagi seberat 4.2 kilogram yang disorok di dalam almari pakaian.

“Seorang wanita warga Thailand kemudian berjumpa dengan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Cheras, Asisten Superintendan Nik Ezanee Mohd Faisal sebelum cuba menyogok wang sebanyak RM17,500 bagi membebaskan suspek pertama.

“Namun polis tidak berkompromi dan terus menahan wanita itu atas tindakan cuba merasuah polis. Suspek lelaki itu kini ditahan reman untuk tujuan siasatan lanjut sehingga Jumaat ini,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");