Sukan Hari Ini

Rodgers cabar Reds bangkit hadapi Real

LIVERPOOL: Brendan Rodgers mencabar pemain Liverpool untuk bangkit apabila berdepan Real Madrid dalam pertemuan penting Liga Juara-Juara di Anfield esok.

Pasukan Rodgers tidak boleh lagi kehilangan mata dalam saingan untuk ke peringkat kalah mati selepas tewas mengejut kepada Basel dalam perlawanan Kumpulan B sebelum ini.

The Reds masih di bawah tahap prestasi sebenar pada musim ini dan lebih banyak tanda-tanda membimbangkan untuk Rodgers timbul kelmarin apabila QPR, kelab tercorot dalam Liga Perdana Inggeris, mengatasi Liverpool dalam sebahagian besar masa ketika pertemuan itu.

Liverpool akhirnya menang 3-2 biarpun melepaskan kelebihan gol pada minit-minit terakhir.

Disebabkan pertahanan Liverpool menghadapi masalah besar mengekang serangan QPR, maka tidak hairanlah jika Rodgers tidak dapat tidur nyenyak memikirkan bagaimana untuk mengukuhkan barisan rapuh itu untuk mengekang barisan serangan Real yang amat mantap itu.

Biarpun pemain sayap Wales, Gareth Bale tercedera, pengendali Madrid, Carlo Ancelotti memiliki Cristiano Ronaldo yang kini pada tahap prestasi terbaik dalam kariernya manakala pemain seperti Karim Benzema, James Rodriguez, Toni Kroos dan Luka Modric sentiasa membantu mencipta peluang untuk bintang Portugal itu.

Ronaldo sudah memecahkan rekod 71 tahun La Liga dengan menjaringkan 15 gol dalam lapan perlawanan pertama musim ini dan hanya memerlukan dua gol lagi untuk menyamai rekod legenda Real, Raul, yang menjaringkan 71 gol dalam Liga Juara-Juara.

Dengan perlawanan di Madrid dua minggu lagi, Rodgers tahu kekalahan esok akan meletakkan Liverpool di ambang penyingkiran daripada kejohanan itu pada halangan pertama.

Namun, malam Eropah di Anfield, apabila penyokong kelab menggegarkan stadium dengan sorakan bergemuruh, kekal pengalaman unik yang akan membangkitkan darah gemuruh pemain berpengalaman sekali pun.

Rodgers berharap keperluan untuk menang dan suasana Anfield akan membangkitkan pasukannya itu daripada keadaan lemah sekarang.

“Apabila anda bermain dalam perlawanan besar dan pesaing hebat, saya tidak sangsi dengan pemain saya kerana mentaliti mereka amat mantap. Anfield ada tempat istimewa untuk perlawanan Liga Juara-Juara dan kami amat mengharapkannya.” – AFP/berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");