Sukan Hari Ini

Sejarah layar

Incheon: Faizal Norizan-Ahmad Syukri Aziz muncul pelayar pertama negara memenangi pingat emas Sukan Asia dalam tempoh lapan tahun selepas mengungguli kelas 420 lelaki di Incheon, semalam.

Hanya Ryan Tan (1994) dan Rufina Tan (2006) memenangi pingat emas pelayaran sebelum ini dalam acara Optimist lelaki dan wanita, yang dikhususkan bagi pelayar berusia 15 tahun ke bawah.

Faizal dan Syukri menang tujuh daripada 12 perlumbaan dan mengesahkan kemenangan dengan baki satu perlumbaan untuk berakhir 14 mata di depan pelayar Jepun, Ibuki Koizumi-Kotaro Matsuo (20) dan Loh Jia Yi-Jonathan Yeo dari Singapura (31).

Kejayaan itu menyusul sekalipun dua perlumbaan terakhir ditangguh hingga lewat petang semalam selepas angin tidak kuat yang menyebabkan perlumbaan sebelah pagi tidak dapat dijalankan.

“Kami terlalu gembira memenangi pingat emas untuk negara,” kata Faizal, 18, di Wangsan Sailing Marina. Dia turut menang acara itu bersama Syukri pada Kejohanan Asia di gelanggang sama awal tahun ini.

“Kami bekerja keras dalam persediaan ke Sukan Asia, malah hadir lebih awal supaya kami dapat bersedia dengan baik.” Syukri berkata, mereka berjaya memastikan tidak melakukan kesilapan pada hari terakhir semalam.

“Kami sedar Jepun masih boleh menafikan emas kami dan kami hanya pastikan berlumba tanpa melakukan kesilapan,” katanya yang berganding dengan Faizal bagi menjuarai acara 420 pada Sukan SEA Myanmar.

Skuad pelayaran negara turut memenangi tiga perak menerusi Khairulnizam Afendy dalam acara laser lelaki, Dhiauddin Rozaini dalam Optimist lelaki dan Nuraisyah Jamil-Umi Norwahida Sallahuddin, 420 wanita.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");