Perak Hari Ini

Budaya Kritik Antara Punca Pendidikan Melayu Tidak Dapat Berkembang

Oleh Siti Norain Usop/Foto:Shahinaz Che Juari:-

Sikap suka mengkritik yang wujud di kalangan orang Melayu dikenalpasti antara faktor yang menyebabkan pendidikan kaum itu tidak dapat berkembang dengan sewajarnya.

Rektor Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (Kuisas), Tan Sri Dr Nordin Kardi, berkata situasi itu boleh dilihat dengan jelas pada hari ini apabila rakyat suka mengkritik pemimpin mereka.

“Kita lihat sekarang di kalangan kita orang Melayu suka mengkritik orang lain …..rakyat mengkritik pemimpin dan begitulah sebaliknya sampai lupa bahawa mereka memerlukan antara satu sama lain.

PERAK TODAY 3-2

“Sikap ini perlu diubah kerana kita harus menyokong antara satu sama lain dalam memastikan pembanguan sistem pendidikan itu sendiri menjadi agenda utama,” ujarnya ketika menjadi ahli panel sesi dialog Hala Tuju Pendidikan Melayu Islam di Restoran Pakeeza dekat Ipoh, malam tadi.

Selain itu, perubahan sistem pendidikan perlu dilakukan memandangkan sistem sedia ada tidak praktikal, katanya.

“Kita perlu lakukan sesuatu pada sistem yang ada sekarang kerana kita sendiri tahu bahawa pelajar Melayu lebih suka melakukan aktiviti di luar kelas dan tidak hanya mahu mengadap buku semata-mata.

“Jadi, kita perlu ada satu sistem yang praktikal dan boleh memberi kelebihan kepada mereka,” katanya lagi.

Sementara itu, sebuah yayasan pendidikan dikenali sebagai Yayasan Melayu perlu ditubuhkan segera bagi menjaga kepentingan pendidikan Melayu khususnya bagi generasi muda di negara ini

Bekas aktivis mahasiswa, Datuk Roslan Latif berkata, orang Melayu perlu mempunyai satu yayasan yang mampu memberi jaminan pendidikan untuk mereka.

“Kita mesti tubuhkan satu atau lebih yayasan bagi orang Melayu kerana jika pada satu hari nanti, sekiranya berlaku peralihan kuasa pemerintahan dan hak orang Melayu tidak terbela, kita sendiri sudah mempunyai satu jaminan untuk anak bangsa kita.

“Seperti kita lihat, bangsa Cina mempunyai banyak yayasan yang mampu menampung perbelanjaan anak-anak bangsa mereka dalam pendidikan.

PERAK TODAY 1-2
“Jadi, atas rasa tanggungjawab itu, saya sendiri telah berusaha untuk mewujudkan yayasan ini agar nasib anak-anak kita pada suatu hari nanti akan lebih terjamin,” katanya.

Katanya, kewujudan yayasan itu juga bagi mengelakkan anak-anak bangsa Melayu itu sendiri mengalami kesusahan selepas menamatkan pelajaran dengan antuan pinjaman daripada kerajaan.

“Kita lihat pada masa ini, hampir 99 peratus anak Melayu yang menggunakan pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk belajar telah disenaraikan hitam kerana tidak membayar pinjaman tersebut.

“Mereka bukan sahaja tidak boleh membuat pinjaman malah tidak boleh pergi ke luar negara selagi hutang tersebut tidak dijelaskan.

“Selain itu, kita dapat lihat bangsa-bangsa lain tidak lokek mengeluarkan perbelanjaan yang lebih untuk pendidikan anak-anak mereka.

“Jadi, kita perlu mengikut jejak mereka kerana kita tidak mahu anak bangsa Melayu terbeban dengan masalah pinjaman ini meskipun mereka belum mempunyai apa-apa pekerjaan,” tegasnya lagi.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasarudin Hashim pula, orang Melayu harus bersatu padu bagi membangunkan sistem pendidikan mereka.

“Kita mestilah mencari satu usaha agar semua orang Melayu bersatu padu untuk membangunkan agenda dalam bidang pendidikan tanpa mengira faham parti sekalipun.

“Hal ini perlu disegerakan kerana kita kesuntukan masa kerana kepentingan pendidikan dalam kalangan orang Melayu itu sendiri tidak dititikberatkan,” katanya.

Beliau juga berkata, orang Melayu tidak seharusnya menuding jari ke arah pihak lain sekiranya mereka gagal dalam memperkasakan pendidikan bangsa.

“Bermula dari sekarang, kita harus fokus kepada bidang pendidikan, pelajaran, ekonomi dan bergerak bersama-sama untuk memberi kesedaran kepada semua peringkat.

“Kita tidak perlu menyalahkan sesiapa tetapi hanya perlu menanamkan dalam diri kita sendiri untuk berubah kerana masa yang kita ada sangat suntuk.

“Kita buatlah sesuatu supaya wujud kesedaran yang tinggi bermula daripada anak-anak sehinggalah guru di semua peringkat bagi memastikan bangsa kita ini tidak lagi ketinggalan dalam bidang pendidikan,” tambahnya.

Terdahulu, Exco Belia dan Sukan, Datuk Shahrul Zaman Yahya turut hadir dalam sesi dialog santai itu yang dihadiri kira-kira 50 peserta.

Sesi dialog itu telah disertai oleh beberapa pihak antaranya mahasiswa, golongan belia, aktivitis facebooker dan juga pemimpin tempatan di sekitar Negeri Perak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");