Laporan Eksklusif

Terkini Dari Istana Kehakiman: Pendakwaan Sangkal Hujah Bermula Pagi Jumaat

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan kes liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyanggah semua hujah yang dibangkitkan oleh peguam Ketua Pembangkang sejak Selasa lalu, bermula pagi ini.

Hujahan itu sepatutnya dibentangkan petang semalam tetapi pihak pendakwaan memohon penangguhan kerana terdapat beberapa isu dibangkitkan empat peguam pembelaan dalam hujah mereka.

Tegas Muhammad Shafee lagi, beliau memerlukan masa untuk meneliti semua hujahan bertulis pembelaan.

Hanya beliau seorang katanya, akan berhujah bagi pihak pendakwaan.

Sementara itu, peguam Anwar yang mengakhiri hujahan mereka semalam mempertikaikan kegagalan Mahkamah Rayuan mengambil kira laporan doktor Hospital Pusrawi, Dr Mohamed Osman Abdul Hamid mengenai pemeriksaan dilakukannya terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 28 Jun 2008.

Peguam, Ram Karpal Singh berhujah Mahkamah Rayuan tersalah arah apabila gagal mengambil kira laporan Dr Mohamed Osman yang tidak menemui sebarang kecederaan pada dubur Mohd Saiful yang mengadu diliwat oleh Anwar.

Ketika ditemui di Istana Kehakiman semalam, Anwar memuji panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria dalam mendengar prosiding rayuan kes tersebut.

Beliau juga berpuas hati dengan hujahan pasukan pembelaan yang diketuai oleh bekas Hakim Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

“Saya tidak fikir munasabah untuk mendapat keputusan selain daripada melepaskan saya kerana keterangan yang dibawa di mahkamah terlalu kukuh,” katanya.

Anwar didakwa atas tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari di sebuah unit kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara Kuala Lumpur antara jam 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Tuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");