Berita Hari Ini

TPM kagum kemudahan di Mekah

Muhyiddin Yassin bertanya khabar kepada beberapa jemaah haji Malaysia sambil diperhatikan Jamil Khir Baharom (kiri) dan Abdul Azeez Abdul Rahim (tiga dari kiri) di luar pekarangan Pusat Rawatan Aziziah, Mekah, semalam:-

MEKAH 30 Sept. – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyuarakan rasa kagum dengan kemudahan pengurusan haji di tanah suci yang disifatkannya amat jauh berbeza berbanding ketika beliau mengerjakan Rukun Islam kelima itu 30 tahun lalu.

Sambil merasakan agak istimewa berada di tanah suci ketika ini, Timbalan Perdana Menteri berkata, meskipun saban tahun jumlah jemaah haji dunia bertambah, namun cara pengurusan kerajaan Arab Saudi dan Tabung Haji sendiri telah menjadikan urusan haji kini semakin mudah dan lancar.

“Hari ini sewaktu saya menunaikan solat, kita boleh lihat bagaimana kerajaan Arab Saudi mengambil inisiatif besar memperluaskan ruang-ruang untuk jemaah haji yang bertingkat-tingkat.

“Saya tidak dapat tunaikan (solat) di bawah, (kemudian) saya naik atas ke tingkat 1 dan 2 (penjagaan) kebersihan, kesihatan yang disediakan jauh lebih baik.

“Apa lagi Tabung Haji yang kini berbeza berbanding 30 tahun dulu semasa saya pergi dengan muassasah, tetapi hari ini saya naik pengangkutan yang lebih elok, yang sistemnya tersusun rapi dan memberi keselesaan kepada jemaaah.

“Seronok kerjakan ibadah yang begitu terasa sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada petugas media Malaysia selepas menziarahi jemaah-jemaah haji Malaysia yang dirawat di Pusat Rawatan Aziziah di sini.

Turut mengiringi beliau ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Pengerusi Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim; Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail dan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Timbalan Perdana Menteri dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman tiba di sini Ahad lalu bersama empat orang anak dan dua anggota keluarga untuk mengerjakan haji.

Ditanya mengenai pengiktirafan tinggi kerajaan Arab Saudi terhadap pengurusan haji yang konsisten oleh Tabung Haji dan jemaah haji Malaysia yang berdisiplin, Muhyiddin berkata:

“Tabung Haji memang telah diiktiraf sebagai badan pengurusan haji terbaik dunia. Ini diakui oleh Raja Abdullah, pemerintah Arab Saudi dalam mesyuarat (haji) setiap tahun.

“Negara lain juga ikut contoh kita dan Tabung Haji sendiri memberi banyak bimbingan supaya sistem pengurusan haji dunia lebih baik pada masa depan. Ini suatu kebanggaan kepada rakyat Malaysia.”

– UTUSAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");