Perak Hari Ini

203 Rumah Terjejas Akibat Ribu Di Klebang Prima

IPOH: Angin kuat yang melanda secara tiba-tiba di perumahan Medan Klebang Prima di Tawas, dekat sini petang semalam merosakkan kira-kira 203 buah rumah di kawasan itu.

Malah, ribut disusuli dengan hujan lebat yang bermula kira-kira jam 4 petang itu, menimbulkan kegusaran serta ketakutan kepada penduduk di situ.

Tinjauan Peraktoday.com.my ke lokasi kejadian mendapati, ribut tersebut bukan sahaja menerbangkan atap rumah, malahan turut menumbangkan beberapa pokok dan papan iklan di kawasan berhampiran.

Menurut salah seorang penduduk yang terlibat, Mohd Zaidi Anuar, 28, kejadian tersebut menyebabkan beliau mengalami kerugian sebanyak lebih RM5,000.

“Masa ribut terjadi, saya bersama isteri, anak serta adik berada di dalam rumah.

“Memang takut sebab risau atap jatuh menimpa kami dan boleh membahayakan nyawa kami sekeluarga.

“Banyak barangan dalam rumah rosak akibat terkena air hujan yang masuk melalui lubang atap yang diterbangkan angin,” katanya.

Beliau berkata, pada ketika ini beliau menumpang dirumah jiran yang terletak berhadapan rumahnya.

“Rumah kami tak boleh diduduki berikutan elektrik pun terputus akibat kejadian ribut itu… dan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) pun tidak boleh menyambungnya kembali buat masa ini kerana ada beberapa masalah.

“Jadi untuk sementara waktu, saya menumpang dirumah jiran sampailah semuanya siap dibaik pulih,” katanya lagi kepada wartawan Peraktoday.com.my ketika ditemui dirumahnya.

ribut klebang1

Sementara itu, Pengerusi Rukun Tetangga kawasan perumahan tersebut, Mohamad Khusaini Wahab, banyak pihak datang membantu selepas kejadian tersebut berlaku.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi, Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin pun ada bersama kita sehingga jam 1 pagi untuk melihat kerosakan yang berlaku.

“Selain itu, pegawai khas kepada Menteri Kewangan II, Datuk Menteri Kewangan II, merangkap Ahli PArlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah juga ada datang ke sini.

“Kami juga berterima kasih kepada pasukan Sukarelawan (RELA) yang sudi memberikan kerjasama yang baik dengan membuat rondaan bagi memastikan semuanya selamat,” katanya.

Jelasnya, kejadian tersebut mengakibatkan kerugian mencecah ratusan ringgit selain untuk membaik pulih kerosakan yang berlaku.

“Anggaran kerugian yang dialami disini kira-kira RM200,000 bagi keseluruhannya.

“Bagi membaik pulih, kita sudah ada menerima bantuan daripada beberapa pihak dan ia memakan masa selewat-lewatnya hari ini untuk memperolehi barangan untuk membaiki bumbung,” ujarnya lagi.

Beliau juga menyatakan terima kasih kepada penduduk yang mahu membaiki sendiri rumah mereka tanpa menunggu bantuan daripada pihak yang berwajib.

“Ada penduduk yang sudah mula membaiki rumah masing-masing meskipun bantuan belum sampai… dan Alhamdulillah, ia dapat membantu kita kerana sekarang ini, kos untuk membeli atap sahaja memerlukan RM50,000 bagi keseluruhannya.

“Apa pun sekarang ini, kita masih menunggu pihak yang berwajib untuk datang memberikan bantuan,” tambahnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");