Jenayah

Bukan sebarang cerek

Kuala Lumpur: Sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang didalangi warga Nigeria masih belum berputus asa, malah semakin kreatif mempelbagaikan modus operandi untuk membawa masuk dadah ke negara ini.

Taktik terbaru mereka ialah menyembunyikan ketulan syabu di dalam cerek, periuk dan pemanas elektrik yang dibongkar Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, rampasan dibuat hasil maklumat sebuah syarikat kurier yang beroperasi di Petaling Jaya, Selangor pada 19 November lalu.

Menurutnya, sepasukan anggota polis yang pergi ke lokasi itu kira-kira jam 5.30 petang menemui enam kotak yang mengandungi barangan dan perkakas elektrik.

Noor Rashid berkata, hasil pemeriksaan polis menemui 2.3 kilogram syabu yang disembunyikan di dalam peralatan elektrik berkenaan.

“Siasatan kami mendapati semua barangan ini dihantar dari China menggunakan syarikat kurier,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.

Menurutnya, dalam kes berasingan JSJN mematahkan cubaan menyeludup dadah melalui Terminal Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa lalu dan merampas 32.9 kilogram syabu yang disembunyikan di dalam sebuah kotak besar.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kotak itu polis menemui enam beg berwarna hitam yang sudah diubah suai dipercayai untuk menyembunyikan dadah berkenaan.

“Syabu itu turut dibungkus dengan menggunakan kertas karbon dipercayai boleh memperdayakan pemeriksaan sistem pengimbas namun hasil risikan polis berjaya merampas dadah berkenaan.

“Kotak mengandungi dadah ini dihantar melalui penerbangan Egypt Air dari Abuja, Nigeria ke Kaherah, Mesir sebelum tiba ke KLIA. Sehingga kini masih belum ada suspek yang ditahan membabitkan dua operasi yang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata semua syabu yang dirampas dalam dua operasi berasingan itu bernilai RM7.1 juta dan pihaknya yakin dapat mengenal pasti sindiket yang bertanggungjawab dan menahan mereka dalam masa terdekat.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");