Membawang Hari Ini

Cabaran berlakon genre berat

“Secara peribadi, saya memang meminati filem genre drama dan berat sejak dulu.

“Justeru, watak Tun Dr Ismail dalam filem kenegaraan Tanda Putera arahan pengarah hebat Datin Paduka Shuhaimi Baba (Shumi) memang diimpikan dalam karier seni, sekali gus mencabar lakonan.

“Namun ia bukan tugas mudah, sebaliknya berkat kerja keras dan pengorbanan yang bukan sedikit,” katanya yang terhutang budi kepada Shumi.

Pada malam kemuncak Anugerah Skrin 2014, baru-baru ini, Zizan mengungguli trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem menerusi filem berkenaan.

Kali pertama Zizan memenangi trofi ialah menerusi kategori Pelakon Harapan Lelaki dalam filem Cinta Terakhir pada Festival Filem Malaysia ke-20.

Namun, pelakon serius ini mengakui masih banyak watak mencabar yang diimpikannya dalam filem mahupun drama dalam misi menjadi pelakon disegani ramai.

“Watak dalam genre drama dan berat sentiasa menjadi minat dan keutamaan sejak dulu.

“Isteri saya, Hani Harun sendiri pun selalu bertanya, kenapa saya suka menonton sesuatu filem itu berulang kali?

“Sebenarnya, itu cara saya buat ‘homework’ kerana sa­ngat terkesan dengan lakonan barisan pelakon dalam sesuatu filem yang ditonton itu,” katanya.

Sesibuk manapun dengan karier seni, Zizan tetap meluangkan masa untuk menimba ilmu dalam bidang perfileman.

“Saya juga banyak membaca pelbagai novel, menonton filem serta menghadiri pementasan teater.

“Setiap waktu yang terluang tidak akan disia-siakan, sebaliknya ia dimanfaatkan sepenuhnya.

“Apabila saya terkesan dengan sesebuah filem atau drama, ia akan membakar semangat untuk beraksi di depan kamera,” katanya.

Zizan mengakui dia juga ada cara tersendiri untuk memotivasikan dirinya sendiri.

“Salah satu caranya ialah dengan mengendalikan sendiri sesi perbincangan me­ngenai filem sambil bertukar pendapat dengan orang lain.

“Ia sesuatu yang sa­ngat baik dan berkesan.

“Selalunya, saya bersama rakan-rakan penulis dan pembikin filem, sekitar tiga hingga lima orang akan bersembang secara santai tetapi ia akan masuk terus ke dalam minda dan meresap ke dalam jiwa,” katanya.

Ditanya watak yang diimpikan selepas ini, kata Zizan, dia bercita-cita untuk beraksi dalam filem muzikal seperti Moulin Rouge pada masa depan.

“Usaha untuk memperbaiki prestasi lakonan adalah secara berterusan.

“Tidak bererti apabila sudah menggenggam anugerah, saya sudah berasa diri hebat berbanding pelakon lain,” katanya.

Pada masa sama, kata Zizan, dia masih mengintai peluang untuk menghadiri bengkel lakonan, sekali gus memantapkan lagi bakat dan persembahan.

“Antaranya, saya merancang intuk menghadiri kursus jangka pendek untuk mempelajari pelbagai aspek dan selok-belok dalam bidang seni.

“Seberat-berat trofi ini, berat lagi tanggungjawab dan kepercayaan yang perlu digalas di bahu ini,” katanya.

Lebih selektif selepas menang anugerah

Sudah menjadi sindrom dalam bidang seni tempatan apabila pengarah takut me­ngambil pelakon yang sudah menang anugerah untuk berlakon dalam drama atau filem arahan mereka.

Zizan pula lebih suka melihat perkara itu dari sudut yang positif.

“Saya percaya rata-rata orang dalam industri filem sudah kenal saya secara peribadi dan tahu bagaimana ingin berhubung atau menawarkan saya berlakon.

“Demand atau naik harga selepas seseorang pelakon itu menang anugerah bukanlah menjadi isunya.

“Terus terang, saya jujur pada kerja dan mencintai bidang lakonan yang sudah sebati dalam diri sejak sedekad lalu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Supertelefilem Strawberi & Karipap Sesat Kat Paris lakonan Zizan akan bersiaran di saluran Astro First.

Zizan juga baru selesai berlakon telefilem untuk Slot P Ramlee, Apa Guna berjanji arahan Shuhaimi Baba bergandingan dengan Ozlynn untuk saluran RTM yang bakal bersiaran pada 30 No­vember ini.

Tidak ketinggalan, dia turut berlakon watak hitam dalam filem Ophilia arahan Pengarah Sinematografi Terbaik FFM 26, Raja Mukhriz.

Mengimbas latarnya, Zizan memulakan kerjayanya sebagai model iklan sekitar 1999 menerusi iklan Ponds.

Selain menjadi model, dia turut berjinak-jinak sebagai pengacara rancangan Beat TV terbitan Astro Ria pada 2011.

Graduan jurusan perniagaan dan kewangan dari De Monfort University, Leicester, England ini pernah beraksi dalam tiga filem.

Dia juga pernah terbabit dalam pementasan teater Muzikal Tun Mahathir yang dipentaskan di Istana Budaya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");