Sukan Hari Ini

Daren resah pikul tugas

Kuala Lumpur: Ketiadaan pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei di Piala Axiata 2014 jelas sekali merisaukan rakan senegara, Liew Daren yang akan menggalas tugas sebagai pemain perseorangan bersama Chong Wei Feng.

Daren berkata, edisi ketiga kejohanan badminton berpasukan paling mewah itu memperlihatkan pasukan Malaysia kurang ampuh berbanding sebelum ini.

“Tahun ini kita bukan saja tidak dapat menurunkan Chong Wei, tapi juga pakar beregu campuran, Goh Liu Ying,” katanya selepas menjalani sesi latihan kecergasan di Institut Sukan Negara (ISN) semalam.

Chong Wei buat kali pertama tidak disenaraikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana digantung sementara oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hingga Panel Pendengaran Doping BWF melakukan perbicaraan awal bulan depan.

“Jika ada Chong Wei dan Liu Ying mungkin pasukan lain berasa gerun menentang kami,” kata Daren yang berhasrat membuktikan kemampuannya pada kejohanan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1 juta (RM3.3 juta) itu.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu menganggap Piala Axiata 2014 penting buat dirinya kerana kejohanan itu menjadi medan antarabangsa terakhir sebelum menutup kempen musim ini.

“Walaupun beraksi di tempat sendiri pada saingan separuh akhir dan akhir, saya anggap tekanannya lagi tinggi, ditambah pula dengan pasukan yang menyertai kejohanan kali ini semuanya hebat termasuk Pilihan Asia dan Eropah.

“Saya harap tuah undian untuk bertemu pasukan seperti Filipina dan Vietnam, sama seperti tahun lalu,” katanya.

Selain Daren dan Wei Feng, skuad negara dibarisi Tan Wee Kiong, Goh V Shem, Tan Boon Heong, Hoon Thien How, Chan Peng Soon, Lai Pei Jing, Ng Hui Lin, Tee Jing Yi, Ho Yen Mei dan Tak Aik Quan.

Kejohanan yang akan diadakan di dua gelanggang, Jakarta (pusingan awal) dan Kuala Lumpur (separuh akhir dan akhir) bermula Rabu depan.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");