Berita Hari Ini

Hidup Keperitan Sejak Suami Hilang

PASIR MAS : Seorang ibu di Kampung Kiat, Bunut Susu, di sini, yang masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak ketiga pada 24 November lalu kini berdepan kesukaran hidup berikutan suaminya menghilangkan diri sejak enam bulan lalu.

Hidup Haziyana Mohd Saad, 32, bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga apabila dia bersama dua anak, Mohd Hafieshyi Mohd Jazry, 10, dan Mohd Hafieqhyi, 6, serta anak ketiganya yang masih bayi terpaksa mengikat perut.

Menurut Haziyana, suaminya, Mohd Jazry Abdullah, 40, yang bekerja sebagai pemandu lori hilang tanpa khabar berita selepas keluar rumah pada 28 Jun lalu, sehari sebelum Ramadan.

“Ketika itu saya sedang sarat mengandungkan anak ketiga kami. Selama ini, segala perbelanjaan keluarga ditanggung oleh suami saya dan saya hanya suri rumah sepenuh masa.

“Kehidupan kami berubah dan bertambah perit sejak suami saya menghilangkan diri. Sewa rumah, bil elektrik dan air mula tertunggak dan paling menyedihkan, kami sekeluarga terpaksa berlapar,” katanya.

Tambahnya, sudah lebih lapan bulan dia tidak dapat membayar sewa rumah berjumlah RM350 sebulan, tambahan ditinggalkan semasa sarat mengandung yang menyukarkannya mencari pekerjaan.

Katanya, dia juga menjaga ayahnya, Mohd Saad Ahmad, 65, yang diserang penyakit kulit serta cacat penglihatan namun berasa lega kerana warga emas itu mendapat bantuan bulanan sebanyak RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Wang bantuan JKM itu cukup untuk menanggung perbelanjaan ayah saya. Namun saya, anak-anak dan ayah pernah kelaparan beberapa hari kerana tiada wang untuk beli makanan.

“Ketika itu, Mohd Hafieshyi hanya bergantung kepada Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah, manakala Mohd Hafieqhyi terpaksa berhenti daripada kelas tadika kerana saya tak mampu bayar yuran bulanan,” katanya.

Haziyana memaklumkan, kini dia sekeluarga bergantung harap dengan simpati jiran tetangga yang sudi membantu dan dia sendiri memasang niat untuk mencari kerja selepas habis berpantang demi membesarkan anak-anak.

“Saya juga berhasrat mengumpul modal untuk membolehkan saya pulang ke kampung halaman di Kulim, Kedah dan meneruskan kehidupan baharu di sana,” katanya.

-sinarharian-

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");