Membawang Hari Ini

Hijrah Afdlin Shauki

PELUANG menyertai misi bantuan ke Gaza pada Disember 2012, melonjakkan terus hasrat Afdlin Shauki untuk terus mengikut pelbagai misi kemanusiaan di wilayah bergolak.

Begitu pun, dek pelbagai kekangan yang dihadapi, niat baik bintang Papadom itu sering kali saja tertangguh!.

Rentetan itu, teraju utama Soal Hati itu mewujudkan program Umrah dan Misi Kemanusiaan Syria Bersama Afdlin Shauki bertujuan untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan serta sama-sama merasai keperitan hidup pelarian pada musim sejuk.

“Sebenarnya, saya agak terkilan kerana tidak dapat sama-sama menyertai Misi Bantuan Musim Sejuk anjuran Muslim Care Malaysia, itu yang saya cuba melakukan sesuatu agar dapat membantu.

“Selain menunaikan umrah, misi kemanusiaan ini turut memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai apa yang sebenarnya berlaku di Syria dan penderitaan yang dialami oleh mereka dan juga pelarian.

“Kami turut mewujudkan alternatif untuk masyarakat di negara ini dalam menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan bantuan di Syria,” katanya kepada Zass ketika ditemui selepas sidang media Sebarkan Kasih Sayang 2014.

Meletakkan sasaran 55 peserta, umrah dan misi kemanusiaan ini dijangka akan berlangsung selama 15 hari pada Januari depan.

Katanya lagi, program seumpama ini dapat mengukuhkan lagi hubungan dan persahabatan serta meningkatkan kerjasama dengan rakan Pertubuhan Kemanusiaan yang berada di Syria.

“Usaha ini turut mendapat sokongan daripada agensi-agensi penting dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Ketika ditanya mengapa memilih Syria, Afdlin menjawab:

“Seramai 200,000 masyarakat Syria telah dibunuh dengan kejam, tidak kiralah kanak-kanak, wanita mahupun warga tua. Mereka terpaksa menjadi pelarian malah lebih teruk lagi menderita di tanah air sendiri.

“Pengalaman ke sana nanti akan memudahkan lagi untuk bercerita apakah yang berlaku. Kita adalah pencerita dan kekuatan kita adalah apabila kita sampaikan cerita pada orang lain,” katanya.

Jelasnya, setiap hidayah adalah daripada ALLAH SWT. Mana tahu, suatu hari dengan penceritaan yang dibawakan itu mampu membuatkan pintu hati seseorang itu terbuka.

Berkarya sambil berdakwah

Kepulangannya dari menyertai misi kemanusiaan juga membawa perubahan besar dalam hidup bintang Baik Punya Cilok ini sekali gus membuka pintu hatinya untuk berhijrah kepada yang lebih baik.

Malah, masanya banyak diluangkan dengan menimba ilmu keagamaan di samping mendapat tunjuk ajar daripada pendakwah supaya menjadi insan yang lebih bertakwa.

Seiring dengan penghijrahannya sementelahan pula baharu saja pulang dari menunaikan ibadah haji, Afdlin kini lebih selesa berkarya dengan cara berdakwah.

Tambahnya, dia cukup gembira dengan kejayaan aktor muda yang kini bergelar penerbit, Ashraf Muslim apabila drama terbitan syarikatnya, Al Hidayah Production Sdn Bhd iaitu Matahari Terbit Lagi berjaya diangkat sebagai Drama Terbaik di Anugerah Skrin 2014.

“Alhamdulillah, saya tumpang seronok dengan kejayaan dia apatah lagi konsep dramanya itu adalah mengikut syariat Islam yang ditetapkan.

“Sekiranya terdapat garis panduan sebegitu, bukanlah bermakna karya yang dihasilkan tidak bermutu tinggi.

“Secara tidak langsung, kejayaannya itu adalah kemenangan bagi Islam dalam hiburan dan sesuatu yang patut dicontohi dan diikuti,” katanya.

Jelasnya, menjadi kepentingannya kini agar setiap produk yang dihasilkan membawa pengajaran berguna kepada audiens.

Dalam perkembangan lain, Afdlin kini sedang mengarah filem pendek untuk projek Ikal Mayang dan bakal meneruskan filem Hollywood, Sandakan Tears tidak lama lagi.

Pada masa sama, Afdlin juga sedang sibuk bagi program Super Spontan Singapura di stesen televisyen Suria dan beberapa perancangan lain.

-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");