Perak Hari Ini

Jangan Tipu Jumlah Gaji Untuk Peroleh BR1M: Husni

Rakyat diminta agar bersikap jujur dengan tidak melakukan penipuan berhubung jumlah gaji bulanan untuk mendapatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dijangka disalurkan pada Januari tahun hadapan.

Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, perkara itu dikesan berlaku pada tahun ini dan mengakitkan orang yang tidak layak menerima bantuan itu turut mempeerolehinya.

“Kita menerima laporan bahawa terdapat individu-individu yang tidak layak telah menerimanya.

“Justeru, kita harap mereka jujur dan jadilah seorang rakyat Malaysia yang baik sekiranya mereka memperolehi pendapatan lebih daripada RM4,000 sebulan dan mungkin bekerja sendiri.

“Mereka mestilah membuat pengakuan sendiri atau ‘self-declaration’ dan jadilah seorang yang jujur dengan tidak mengakui bahawa diri mereka itu layak menerima bantuan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan penutupan Program Satu Komuniti 1JPJ di Sekolah Kebangsaan Pakatan Jaya di Ulu Kinta dekat Tambun, hari ini.

Beliau berkata lagi, pihaknya akan melakukan pemilihan secara terperinci untuk memastikan hanya pemohon yang benar-benar layak akan menerima bantuan tersebut.

“Kita akan membuat semakan dengan agensi-agensi yang terbabit untuk kita memastikan bahawa hanya mereka yang layak dapat memperolehi BR1M ini,” ujarnya.

Tambahnya, pihaknya juga akan membuka pendaftaran bagi pemohon yang layak menerima tetapi belum membuat permohonan.

“Kita akan mula membuat pembayaran pada bulan Januari dan bagi mereka yang layak untuk menerima tetapi belum memohon, kita akan membuka pendaftaran bermula pada 1 hingga 30 Disember depan,” kata Husni.

Beliau juga menasihati agar penerima yang belum mempunyai nombor akaun untuk berbuat demikian bagi memudahkan pembayaran BR1M.

“Setakat ini, terdapat lebih kurang 6.4 juta individu yang menerima bantuan BR1M ini dan daripada jumlah tersebut, kita ada lebih kurang 2 juta penerima yang tidak mempunyai akaun.

“Kita harap mereka akan membuka akaun supaya dapat memudahkan kita menyalurkan pembayaran nanti,” beliau berkata lagi.

Beliau berkata, kerajaan mensasarkan kira-kira 7 juta individu akan mendapat manfaat daripada bantuan BR1M tersebut.

Pemberian BR1M pada tahun hadapan akan dibahagikan kepada tiga peringkat manakala golongan muda hanya mendapat satu bayaran sekaligus.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");