Berita Hari Ini

Kawal ketat pembalakan haram

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan agar pembalakan haram di negeri ini dikawal ketat dengan menjalankan pemantauan berterusan agar aktiviti itu tidak terus berleluasa.

Selain itu titah baginda, kerajaan perlu memperbanyakkan lagi kawasan hijau selain mengekalkan kawasan hutan sedia ada sebagai usaha mengatasi pencemaran dan mengekalkan persekitaran yang sihat.

Baginda turut menyokong usaha kerajaan negeri membekukan kegiatan pembalakan yang dijalankan di hutan simpan kekal pengeluaran berkuat kuasa tahun depan.

“Tidak ada gunanya menjadi negeri maju tetapi persekitaran kotor dan tercemar, tidak guna jika rakyat berpendapatan tinggi tetapi hidup dalam keadaan tidak sihat dan berpenyakit.

“Amalan menjaga kebersihan harus menjadi budaya hidup rakyat negeri ini dan rakyat juga perlu sama-sama memainkan peranan menjaga kelestarian alam sekitar,” titah baginda.

Titah baginda dibacakan Pegawai Daerah Johor Bahru, Amran A Rahman selaku wakil rasminya pada Majlis Ikrar Taat Setia yang diadakan sempena Hari Keputeraan Sultan Johor di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah di sini, semalam.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor berkata kerajaan negeri akan membekukan sebarang aktiviti pembalakan di hutan simpan kekal (pengeluaran) di seluruh negeri ini, bermula tahun depan sebagai usaha memulihara, melestari dan membangunkan alam sekitar untuk diwarisi generasi akan datang.

Dalam ucapan sama, Sultan Ibrahim turut melahirkan rasa kecewa terhadap sebilangan masyarakat yang didapati masih malas dan malu untuk berubah sebaliknya lebih gemar memberikan kritikan terhadap pihak lain.

“Golongan ini hanya pandai mengata dan mengkritik orang lain yang sudah berjaya, tetapi mereka sendiri tidak mahu berubah.

“Jika masih tidak sedar dan tidak mahu berubah, mereka akan terus mundur dan merempat di tanah air sendiri,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda turut mengingatkan belia agar tidak memilih bidang pekerjaan sebaliknya perlu berani untuk bermula dari peringkat bawah.

“Mereka (belia) perlu mencari pengalaman dan meningkatkan kemahiran dalam bidang diceburi. Itu faktor penting untuk berjaya,” titahnya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");