Berita Hari Ini

Kekalkan Seksyen 3 dan 4 jika Akta Hasutan dipinda – Rais

KUALA LUMPUR: Sekiranya Akta Hasutan 1948 dipinda, ia mestilah mengekalkan Seksyen 3 dan 4 akta itu bagi menjamin keharmonian masyarakat, kata Penasihat kepada Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata peruntukan di bawah kedua-dua seksyen itu masih diperlukan bagi menjamin keharmonian masyarakat kerana ia secara jelas mentakrifkan perbuatan yang dianggap menghasut.

“Kita mesti faham bahawa apa yang dianggap sebagai hasutan kekal sebagai hasutan kerana ia untuk menjaga masyarakat dan bukan orang peribadi,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai Undang-undang, Perintah dan Keadilan Jenayah 2014 di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) di sini, hari ini.

Kedua-dua seksyen itu adalah mengenai kecenderungan untuk menghasut dan perbuatan menghasut serta hukuman yang boleh dikenakan terhadap mereka yang melakukan atau cuba melakukan, membuat persediaan untuk melakukan, atau berkomplot dengan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut.

Ia juga meliputi perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut, menyebut apa-apa perkataan menghasut, mencetak, menerbitkan, menjual, menawarkan untuk dijual, mengedarkan atau mengeluarkan semula apa-apa penerbitan menghasut atau mengimport apa-apa penerbitan menghasut.

Rais berkata selari dengan peredaran masa, beliau berpendapat kritikan yang dibuat terhadap kerajaan tidak boleh dianggap sebagai perbuatan menghasut, namun batasan hendaklah diletakkan pada perkara membabitkan institusi kesultanan, badan kehakiman atau Yang di-Pertuan Agong.

“Ini kerana Yang di-Pertuan Agong adalah simbol negara dan ia seharusnya dihormati.

“Berbeza dengan kritikan kepada kerajaan yang tidak boleh dianggap sebagai hasutan kerana trend sekarang ialah orang boleh membuat penilaian kepada mana-mana entiti,” katanya. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");