Perak Hari Ini

Kerajaan Negeri Pantau Daerah Yang Terlibat Banjir – Zambry

Kerajaan Perak akan membuat pemantauan rapi di setiap daerah di negeri itu yang sering terlibat dengan bencana banjir.

Menurut Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, ia perlu dilakukan bagi memastikan semua mangsa banjir menerima bantuan yang selayaknya.

“Hari ini, saya melawat kawasan Simpang Tiga Kunci Air dekat Langkap yang dilimpahi air Sungai Tapah sebelum ia mengalir ke laut.

“Kerajaan negeri sedang memantau semua daerah di negeri Perak bagi memastikan keadaan banjir yang berlaku di semua tempat sekarang ini yang disebabkan oleh hujan lebat dapat ditangani,” katanya.

Beliau berkata lagi, semua pihak diminta bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menyediakan kemudahan kepada mangsa-mangsa banjir di kawasan yang terlibat.

“Saya telah pun mengarahkan supaya semua pihak seperti Pejabat Daerah dan juga Majlis Keselamatan Negeri (MKN) supaya memulakan persiapan mereka dan menyediakan bilik-bilik gerakan bagi memantau keadaan banjir di seluruh negeri Perak,” ujarnya.

Tambahnya, pihaknya juga telah menerima maklumat kejadian banjir turut berlaku di Daerah Kerian.

“Saya juga telah menerima maklumbalas mengenai banjir di Daerah Kerian akibat hujan yang begitu lebat hingga telah menenggelamkan beberapa buah kampung.

“Setakat ini, jumlah mangsa masih tidak ramai tetapi kita masih memantau kerana hujan turun setiap hari,” katanya lagi.

Ujarnya, hujan lebat yang telah melanda negeri itu menjadi punca banjir bagi daerah di daerah terlibat.

“Hujan lebat ini akan memberi kesan di Kerian dan bagi kawasan di Hilir Perak pula, ia kesan daripada limpahan dan juga aliran air.

“Ini kerana kawasan ini merupakan kawasan di penghujung dan sebab itu ia memberi kesan kepada penduduk di situ,” katanya.

Terdahulu, beliau melawat enam keluarga yang telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Sungai Kucing, Head Work dekat Langkap.

Mangsa terdiri daripada 11 orang dewasa iaitu empat lelaki dan tujuh wanita manakala empat kanak-kanak masing-masing tiga lelaki dan seorang perempuan.

Turut hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Perak (ADUN) Sungai Manik merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");