Berita Hari Ini

Langkah UPM tangani krisis makanan dipuji

SERDANG – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah memuji langkah yang diambil Universiti Putra Malaysia (UPM) memanfaatkan bakat untuk jaminan makanan bagi menangani krisis itu.

Baginda yang juga Canselor UPM bertitah usaha terpuji itu jelas menunjukkan kredibiliti universiti dalam mendepani apa sahaja krisis yang melanda dunia ketika ini.

Titah baginda dalam era yang serba mencabar ketika ini, masyarakat dunia sentiasa bimbang dengan krisis makanan di mana Malaysia juga tidak terlepas daripada menghadapi kesan daripada krisis itu.

“Beta menyokong penuh usaha yang membentuk rekayasa UPM untuk menjadi Pusat Kecemerlangan Pendidikan Pertanian Kebangsaan dan Antarabangsa (Pusat Sekuriti Makanan).

“Rekayasa ini menjamin pemerolehan modal insan pertanian yang berketerampilan dan mempunyai atribut pertanian serta mempertingkat penghasilan penyelidikan dan inovasi berimpak tinggi dalam sekuriti makanan berasaskan pertanian,” titah baginda pada majlis Konvokesyen UPM ke-38 di sini hari ini.

Titah baginda, pemanfaatan bakat untuk jaminan makanan dengan objektif meningkatkan kualiti pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan dalam bidang pertanian akan memberi impak besar kepada negara dalam menangani krisis itu.

Selain membantu meningkatkan jaminan dan stok makanan negara, perkara paling penting, ia dapat meredakan kegusaran masyarakat dalam menghadapi krisis makanan global, titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut berkongsi kegembiraan atas kejayaan UPM melalui Taman Pertanian Universiti dengan kerjasama Fakulti Perubatan Veterinar memperoleh status Amalan Baik Pertanian Malaysia (MyGAP) untuk sektor ternakan bagi lembu tenusu, lembu pedaging dan kambing pedaging.

Titah baginda kejayaan yang pertama kali dicapai oleh institusi pengajian tinggi awam itu membolehkan UPM menghasilkan produk ternakan yang berkualiti dan selamat dimakan, selari dengan peningkatan kesedaran dan permintaan pengguna terhadap produk berkenaan.

Baginda turut memuji langkah Fakulti Pertanian UPM menjalankan Program Inkubasi Usahawan Tani sejak dua tahun lepas, melibatkan kerjasama agensi kerajaan dan swasta itu yang disifatkan sebagai amat tepat pada masanya dalam usaha kerajaan membuka peluang kerjaya dalam bidang pertanian.

“Beta difahamkan usaha ini telah melahirkan 59 usahawan berasaskan pertanian. Inilah manifestasi universiti yang menepati kehendak semasa masyarakat dan memberi sumbangan kepada keluasan pasaran kerjaya terutamanya dalam bidang pertanian,” titah baginda.

Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin mahu program sebegitu terus diperkasakan dengan usaha penambahbaikan agar ia terus meledakkan inovasi dan membuka kecenderungan masyarakat terutamanya golongan muda untuk menceburi bidang keusahawanan tani.

Sebanyak 6,116 graduan terdiri daripada ijazah doktor falsafah (391), ijazah sarjana (2,123) dan ijazah sarjana muda (3,380) yang menamatkan pengajian menerima ijazah masing-masing dalam upacara selama empat hari itu. – Bernama

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");