Berita Hari Ini

Lebih 600 pemborong beras ST15 disemak semula

SERDANG – Lebih 600 pemegang kuota (pemborong) beras subsidi super tempatan 15 peratus hancur (ST15) sedia ada, sedang disemak semula bagi proses pemutihan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata demikian mengulas laporan berhubung dakwaan kononnya kementerian membekukan pemberian bekalan beras ST15 kepada pemborong di beberapa negeri tertentu sehingga menyebabkan kekurangan bekalan baru-baru ini.

Katanya, tidak timbul soal pembekuan atau bekalan tidak cukup, tetapi berlaku masalah penyelewengan menyebabkan kementerian perlu buat semakan semula ke atas senarai pemborong yang mendapat kuota ST15.

“Kementerian tidak boleh sewenang-wenangnya membekukan kuota, itu bukan kerja kita. Hanya Kabinet yang berkuasa melakukannya,” katanya ketika sesi temubual media berhubung Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (Maha) 2014, semalam.

Menurutnya, pihaknya juga sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu.

Katanya, pihaknya juga menubuhkan satu jawatan kuasa baharu dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Arif Ab Rahman bagi menimbang dan melantik semula pemegang kuota yang layak.

Katanya, satu surat rasmi berhubung pembatalan kuota ST15 kepada semua pemborong sedia ada dijangka dikeluarkan bulan depan.

“Selepas surat itu dikeluarkan, maka kuota yang mereka (pemborong) dapat sebelum ini akan terbatal serta merta.

“Semua pemborong terbabit perlu memohon semula kuota dan jawatan kuasa dilantik akan melakukan temubual dengan mereka bagi menentukan semula siapa yang benar-benar mematuhi syarat dan layak diberi kuota jualan ST15,” katanya

-sinarharian-

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");