Berita Hari Ini

PAC syor ujian psikologi, kecerdasan 163,000 pengawal keselamatan

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan ujian psikologi dan kecerdasan kepada semua 163,000 pengawal keselamatan di negara ini.

Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata tindakan berkenaan penting bagi memastikan kesihatan mental semua pengawal keselamatan yang digajikan majikan negara ini mencapai tahap baik dan memuaskan.

Syor berkenaan, katanya, boleh dilaksana sama ada secara latihan atau wajib memandangkan industri keselamatan ini juga mempunyai minat tinggi terutama oleh majikan.

“Kita sudah kemukakan syor ini dalam mesyuarat bersama KDN sebentar tadi dan mereka akan mengambil maklum dan mempertimbangkannya.

“Apa yang kita mahu adalah pengawal keselamatan ini terutama yang diambil dari negara luar dapat disahkan tahap emosi dan mentalnya sebelum dibenar berkerja,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di bangunan Parlimen di sini, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Nur Jazlan yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, langkah sedemikian juga perlu bagi mengelak berulangnya insiden pegawai bank ditembak mati oleh pengawal keselamatan seperti yang berlaku sebelum ini.

Beliau turut diberitahu pada mesyuarat pagi tadi bahawa sebanyak 45 lesen yang diberi kepada syarikat pengendali pengawal keselamatan sudah ditarik balik KDN selepas didapati melanggar peraturan ditetapkan.

Katanya, KDN turut memaklumkan, sehingga kini 163,000 pengawal keselamatan digajikan majikan negara ini termasuk 13,000 dari Nepal.-berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");