Perak Hari Ini

Pantau Aduan Kutipan Sampah, Pemotongan Rumput Dan Pembersihan Longkang: DS Zambry

IPOH: Kerajaan Perak mengarahkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terus menjalankan pemantauan terhadap aduan berkaitan masalah pengurusan kutipan sampah, pemotongan rumput dan pembersihan longkang yang dilaporkan oleh wargakota.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata pihak berkuasa tempatan itu (PBT) itu perlu bertindak segera untuk menyelesaikan masalah yang dibangkitkan oleh wargakota Ipoh.

“Kita menerima aduan daripada rakyat berkaitan masalah pengurusan kutipan sampah, pemotongan rumput dan juga pembersihan longkang yang memerlukan perhatian pihak MBI,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Ahli Majlis dan Ketua-Ketua Jabatan MBI di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Harun Rawi.

Sementara itu, beliau turut mencadangkan agar MBI mewujudkan kawasan khusus di sekitar bandar raya bagi merealisasikan matlamat menjadikannya sebagai Bandaraya Bersih dan Hijau.

Katanya, kawasan yang berpotensi termasuklah Bukit Kledang, Taman Rekreasi DR Seenivasagam dan Taman Rekreasi Sultan Abdul Jalil yang perlu dinaiktaraf untuk menjadi tarikan pelancong melawat bandar raya Ipoh.

Katanya, MBI bukan sahaja perlu memandang kepada aspek pembangunan sahaja tetapi juga mengambil kira faktor keseluruhan dalam mewujudkan bandaraya Ipoh yang bersih dan hijau.

“Kedua-dua belah pihak telah berbincang bagaimana untuk menggunakan kelebihan yang ada dari segi alam sekitar supaya ia menjadi satu tarikan pelancongan.

“Saya ingin melihat Ipoh menjadi bandar raya yang benar-benar berkualiti dari segi kebersihan yang bukan sahaja diakui di peringkat Malaysia tetapi juga antarabangsa,” katanya.

Katanya, usaha tersebut perlu dilakukan memandangkan Ipoh sedang pesat membangun.

“Bandaraya Ipoh semakin berkembang pesat dan banyak bangunan tinggi mula dibina sekaligus memberi impak kepada kedudukan bandar raya itu sendiri.

“Justeri, kita telah berbincang tentang langkah-langkah untuk menjadikan Ipoh sebagai bandar raya yang penuh dengan keceriaan dan mempunyai identiti sendiri di sebalik pertumbuhan pesat hari ini,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");