Membawang Hari Ini

Perjalanan The Drop

BOB Saginowski (lakonan hebat Tom Hardy) adalah seorang lelaki yang lurus bendul dan baik hati.

Namun dek kerana dia bekerja bersama sepupunya, Marv (James Gandolfini), yang merupakan pemilik bar Cousin Marvin’s di bandar Brooklyn, New York, menyebabkan dia berjumpa dengan pelbagai jenis orang termasuk kumpulan gangster, membuatkan dia nampak begitu tenang dalam menghadapi apa juga situasi.

Dalam pada itu, bar milik Marv merupakan salah satu daripada bar yang menjadi pilihan penjenayah untuk meletakkan duit haram atau ‘dirty money’ untuk disimpan, sebelum diambil oleh pihak-pihak tertentu yang dipertanggungjawabkan.

Konflik melanda apabila bar tersebut dirompak dan wang milik kumpulan penjenayah itu lesap. Bob yang ketika itu cuba sedaya upaya untuk tidak terlibat dalam masalah dengan kumpulan penjenayah itu, mula sedar bahawa Marv adalah orang yang bertanggungjawab dalam mencetuskan huru-hara itu.

Selain perlu mengelak daripada kumpulan gangster, Bob juga perlu menghadapi seorang detektif polis yang mengesyakinya melakukan rompakan tersebut, serta seorang lelaki misteri yang tiba-tiba datang mengugutnya.

Begitulah antara sebahagian drama dalam filem terbaharu arahan Michael R Roskam. Selain Hardy selaku teraju utama, filem ini juga menyaksikan lakonan Gandolfini bersama Noomi Rapace, Matthias Schoenaerts, John Ortiz dan Elizabeth Rodriguez.

Secara keseluruhannya, bagi anda yang mengharapkan filem ini sarat dengan babak aksi, anda barang kali perlu meletakkan harapan itu ke tepi.

Ini kerana, Roskam dilihat lebih memberi fokus kepada perjalanan cerita dan perkembangan watak Bob itu sendiri bersama pelakon lain.

Ia secara tidak langsung menyebabkan perjalanan filem ini bergerak agak perlahan kerana ia akan membawa penonton mencari jawapan pada setiap teka-teki dalam durasi sejam 46 minit itu.

Namun ia tetap mengujakan, kerana bagi penulis, dalam garapan yang perlahan, Roskam tetap menyelitkan banyak persoalan dan konflik lain yang akan membuatkan penonton tertanya-tanya apa akan terjadi seterusnya.

Psikologi Hardy

Selain itu, Hardy selaku teraju utama berjaya membawakan wataknya dengan cukup baik dan berkesan.

Pendek kata, watak Bob adalah protagonis yang punya psikologi yang kompleks.

Wataknya tampak santai, dengan cara bercakap lelaki yang lurus bendul, namun masih kelihatan penuh misteri.

Ia secara tidak langsung akan memberi kejutan kepada penonton menjelang penghujung jalan cerita.

Bagi mengetahui keseluruhan jalan cerita dan apakah yang akan terjadi kepada Bob dan sepupunya selepas rompakan itu? Jangan lupa untuk menyaksikan filem The Drop di pawagam.

-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");