Jenayah

Pilih Petronas kerana jimat, selesa

Bahrudin melihat dua pekerjanya menyusun pelbagai produk IKS yang dijual di Bahrudin Mini Station, dekat Jeli, Kelantan:-

JELI – Kembara ‘Hebat Giler, Jimat Sengoti’ Sinar Harian, tajaan Petronas selama empat hari di negeri ini berakhir, di sini, Selasa lalu, dengan rumusan, pelanggan memilih Petronas untuk mengisi minyak kenderaan kerana faktor penjimatan.

Hasil temu bual bersama pelanggan dibuat peserta kembara yang singgah di sembilan stesen minyak Petronas di negeri ini, keselesaan dan kemudahan disediakan turut menjadi faktor utama stesen minyak syarikat itu menjadi pilihan dan tumpuan.

Bagi pengusaha stesen yang memilih Petronas pula, sokongan pelanggan bukan sahaja menjana keuntungan, malah memberi mereka ruang berbakti kepada masyarakat menerusi aktiviti amal dan kebajikan, selain peluang perniagaan.

Peluang ekonomi itu termasuk melalui pembukaan Kedai Mesra Petronas atau kedai runcit di stesen minyak mereka yang membuka ruang kepada pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan memasarkan produk.

Antara stesen minyak Petronas yang merangkumi segala faktor tarikan itu ialah Bahrudin Mini Station, Jeli, yang bukan sahaja ada pelbagai kemudahan untuk pelanggan, malah membuka peluang ekonomi kepada penduduk dan pengusaha IKS.

Bermula dengan hanya dua pam minyak ketika mula beroperasi pada Mei 1991, stesen yang masih mengekalkan namanya itu kini menjadi stesen minyak mini terbesar dengan kemudahan 10 pam minyak terutama bagi pengguna Petronas Primax 95.

Pengurusnya, Bahrudin Zakaria berkata, selain mengutamakan khidmat pelanggan, kedai runcit di stesen minyak itu membuka ruang seluasluasnya kepada pengusaha IKS dan penduduk memasarkan produk.

“Kedai kami ada pelbagai produk IKS tempatan seperti maruku, kerepek pisang dan kek, selain nasi berlauk, laksa dan mi yang diletakkan penduduk kampung untuk dijual setiap hari.

“Harga produk ditentukan sendiri pengusaha IKS dan penduduk, tidak mahal tetapi mereka masih boleh dapat untung,” katanya.

Mengenai sambutan, Bahrudin berkata, stesen itu jadi tumpuan sebagai pusat sehenti kerana ada kemudahan lengkap seperti surau, wakaf rehat yang selesa dan tandas.

Malah katanya, dua orang daripada hampir 50 pekerja di stesen minyak itu ditugaskan khusus untuk menjaga kebersihan terutama surau dan tandas bagi menjamin keselesaan pengunjung.

“Selain pengguna jalan raya, stesen saya jadi tumpuan masyarakat dari beberapa kampung sekitar untuk beli barangan runcit, bahkan jadi tempat berjumpa kawan atau berehat.

“Jika dilihat pada pendapatan stesen minyak ini, kedai runcit menyumbang kira-kira 40 peratus, manakala 60 peratus lagi diperoleh hasil jualan minyak,” katanya.

Menurut Bahrudin, penerimaan baik pelanggan terhadap produk Petronas dan sokongan orang ramai membolehkannya menyumbang semula kepada masyarakat menerusi kerja amal, tajaan dan sumbangan.

“Kita banyak bantu komuniti terutama melalui sumbangan kepada masjid dan sekolah, malah saya banyak dapat permintaan pihak sekolah untuk menaja lawatan sambil belajar atau aktiviti sukan pelajar,” katanya.

Ditanya cabaran sebagai pengusaha stesen minyak Petronas, Bahrudin berpandangan, sudah menjadi adat orang berniaga berdepan pelbagai cabaran terutama dari segi persaingan dengan stesen syarikat minyak lain.

“Tetapi dengan keyakinan pelanggan terhadap minyak Petronas dan kemudahan yang ada, stesen ini akan terus jadi tumpuan pengguna Jalan Raya Timur Barat yang melalui Jeli dan masyarakat setempat,” katanya.

Bahrudin Mini Station menjadi persinggahan terakhir Kembara ‘Hebat Giler, Jimat Sengoti’ selepas stesen minyak Petronas di Gua Musang, Kuala Krai, Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas, Pengkalan Chepa, Pasir Puteh dan Tanah Merah.

Sempena kembara itu, pelanggan stesen minyak tersebut berpeluang ditemu ramah wartawan Sinar TV dan mendapatkan pelbagai hadiah tajaan Petronas daripada kakitangan pemasaran Sinar Harian yang mengemudi kembara itu.

Selain topi, tuala, pen dan pelbagai barangan tajaan syarikat minyak kebanggaan negara itu, kira-kira 50 pelanggan stesen minyak Petronas bertuah menerima hadiah istimewa PETRONAS Gift Card bernilai RM50 setiap satu.

Kembara yang bermula di Gua Musang itu berakhir dengan peserta hadir ke majlis pelancaran program Water For Life oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Petronas Dagangan Berhad, Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus di Dabong, Kuala Krai.

Program itu satu lagi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat minyak berkenaan untuk menyediakan bekalan air bersih tanpa gangguan kepada rakyat. Dabong, Kelantan dipilih sebagai lokasi kedua tahun ini selepas Serian, Sarawak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");