Sukan Hari Ini

Piquet sasar kutip mata tambahan di Putrajaya

KUALA LUMPUR: Pelumba Pasukan China Racing Formula E, Nelson Piquet Jr berhasrat untuk sekali lagi menampilkan prestasi mantap pada perlumbaan Kejohanan FIA Formula E (ePrix) di Putrajaya, Sabtu ini.

Pelumba kelahiran Jerman berusia 29 tahun itu menamatkan perlumbaan pada kedudukan kelapan untuk mengutip empat mata pada saingan pembuka tirai kejohanan berkenaan di Beijing, China September lalu.

“Saya mahu terus meraih mata pada kejohanan ini. Pasukan kami semakin meningkat sejak perlumbaan di China.

“Kami mengadakan banyak ujian simulator dan pembangunan simulasi. Saya berpendapat kami melakukan yang terbaik dan banyak belajar daripada perlumbaan pertama.

“Saya berasa yakin menjelang perlumbaan hujung minggu ini,” katanya pada sesi bertemu media di sini, malam tadi.

Pelumba Pasukan Audi Sport ABT dari Brazil, Lucas di Grassi, muncul juara pada saingan pembuka tirai itu untuk meraih 25 mata manakala pelumba Perancis, Franck Montagny, daripada pasukan Andretti dan pelumba pasukan Virgin Racingdari Britain, Sam Bird, di tempat kedua dan ketiga dengan masing-masing mengutip 18 dan 15 mata.

Pusingan kedua Kejohanan FIA Formula E (ePrix), siri perlumbaan kereta elektrik sepenuhnya yang pertama di dunia akan diadakan di litar jalanan sementara di Putrajaya, Sabtu ini. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");