Isu Panas

PKR gesa kerajaan semak semula harga minyak

PUTRAJAYA – PKR hari ini menyarankan kerajaan menyemak semula harga petrol dan diesel di pasaran Malaysia. Naib Presidennya, Rafizi Ramli berkata, penurunan harga minyak mentah di pasaran dunia mewajarkan kerajaan berbuat sedemikian.

“Harga minyak mentah di pasaran dunia terus jatuh. “Fenomena harga minyak mentah dunia yang dijangka kekal pada paras yang lebih rendah memerlukan penilaian semula kepada beberapa dasar menaikkan harga petrol dan diesel yang selama ini dijalankan secara agresif oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Jelas Rafizi, harga minyak mentah dunia yang berlegar sekitar AS$105 (RM348) ke AS$108 (RM357) setong di antara Mei hingga Ogos tahun ini (rujukan harga piawai Brent) tiba-tiba mula jatuh bermula Ogos.

“Ia jatuh dari paras USD$105 setong ke USD$85 (RM281) setong pada awal Oktober dan kekal pada paras itu sehingga kini,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama Rafizi turut mendakwa, penganalisis pasaran minyak mentah dunia turut meramalkan harga minyak mentah akan kekal sekitar paras itu bagi tempoh yang lebih lama sehingga 2015.

“Saya telah membuat analisa terkini jumlah subsidi petrol dan diesel yang akan ditanggung kerajaan sekiranya harga minyak mentah kekal pada harga sekitar USD$85 setong sehingga ke tahun 2015.

“Bagi suku terakhir tahun ini, kerajaan akan menjimatkan RM1.45 bilion dalam bentuk subsidi yang tidak perlu dibayar kerana harga minyak mentah yang lebih rendah menyebabkan kos pengeluaran petrol dan diesel juga lebih rendah.

“Ini bermakna, alasan bahawa harga minyak perlu dinaikkan kerana bebanan subsidi yang tinggi tidak lagi benar akibat kejatuhan harga minyak mentah di pasaran dunia,” katanya.

Kerajaan menarik subsidi petrol RON95 dan diesel baru-baru ini, sebanyak 20 sen.

Ekoran itu, RON95 dijual pada harga RM2.30 seliter dan diesel pula RM2.20.

Terdahulu RON95 dijual pada harga RM2.10 seliter dan diesel pula RM2.00.

-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");