Sukan Hari Ini

Real, Dortmund sahkan tempat, Arsenal terpaksa menunggu

PARIS: Penyandang juara, Real Madrid dan finalis 2013, Borussia Dortmund mengesahkan kemaraan ke peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi sekalipun aksi peringkat kumpulan masih berbaki dua perlawanan.

Gergasi Sepanyol, Real merakam kemenangan keempatnya dalam Kumpulan B yang juga kemenangan ke-12 berturut-turut selepas menewaskan wakil England, Liverpool 1-0 di Santiago Bernabeu hasil jaringan Karim Benzema.

Dortmund dalam pada itu melupakan kempen hambar di peringkat domestik untuk mengekalkan rekod empat kemenangan dalam Kumpulan D selepas menewaskan kelab Turki, Galatasaray 4-1 di laman sendiri.

Dalam pada itu, Atletico Madrid dan Bayer Leverkusen juga sudah meletakkan sebelah kaki ke peringkat sama manakala juara Itali, Juventus, Basel dan Benfica turut mencatat kemenangan.

Begitupun malang buat Arsenal yang mensia-siakan kelebihan tiga gol untuk seri 3-3 menentang Anderlecht di London.

Skuad bimbingan Carlo Ancelotti, Real pada aksi pertama di Anfield, dua minggu lalu jelas terlalu kuat buat Liverpool dengan melakar kemenangan 3-0 dan situasi hampir sama berulang di Bernabeu.

Malah, percaturan yang dibuat jurulatih, Brendan Rodgers dengan tidak menyenaraikan kapten, Steven Gerrard dan Raheem Sterling dalam kesebelasan utama juga dilihat memakan diri.

Real memperoleh gol tunggal pada minit ke-27 perlawanan selepas Benzema menyambar hantaran pemain pertahanan, Marcelo yang menewaskan penjaga gol The Red, Simon Mignolet.

Kekalahan menyaksikan Liverpool kini ketinggalan tiga mata di belakang pasukan di tangga kedua, Basel yang menewaskan Ludogorets Razgrad 4-0 di Switzerland hasil jaringan Breel Embolo, Derlis Gonzalez, Shkelzen Gashi dan Marek Suchy.

Satu lagi kelab Inggeris, Arsenal dalam pada itu sepatutnya sudah mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati selepas penalti Mikel Arteta, gol Alexis Sanchez dan Alex Oxlade-Chamberlain meletakkan tuan rumah selesa 3-0 di depan menentang Anderlecht.

Begitupun, juara Belgium itu mencipta kebangkitan menakjubkan ketika permainan berbaki setengah jam dan menyamakan jaringan menerusi dua gol Anthony Vanden Borre dan Aleksandar Mitrovic.

Aksi Liga Juara-Juara bersambung awal pagi esok yang menampilkan gergasi Jerman, Bayern Munich, juara Perancis, Paris Saint-Germain, Barcelona, juara Inggeris, Manchester City, Chelsea dan FC Porto. – AFP/berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");